IPOH – Semua agensi termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama Ahli Majlis perlu memainkan peranan mengelakkan masalah banjir kilat di bandar ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semua pihak mempunyai peranan masing-masing memastikan tiada sampah menyekat aliran air sekiranya berlaku hujan lebat bagi mengelak banjir.
Menurut beliau, langkah proaktif tersebut penting lebih-lebih lagi ketika musim hujan yang boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat ekoran longkang tersumbat.
“Saya sudah beberapa kali sebut supaya setiap agensi terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT), Ahli Majlis serta penguat kuasa rajin turun padang untuk melihat.
“Sebelum banjir ada ruang di mana longkang boleh tersumbat dan kalau masalah ini dapat diatasi, maka kita dapat elakannya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2022 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Tambahnya lagi, peranan berkenaan bukan sahaja diletakkan pada PBT serta agensi dan jabatan kerajaan semata-mata, namun juga kepada orang ramai.
Beliau berkata, orang ramai juga perlu bersama-sama memastikan tidak ada sampah sarap yang dibuang ke dalam longkang mahupun sungai bagi mengelakkan banjir kilat akibat tersumbat. – K! ONLINE