OTTAWA, Kanada – Seorang wanita yang berdepan detik cemas keretanya tenggelam di dalam sebatang sungai berais bukan sahaja tidak panik, malah dia sempat merakam gambar swafoto, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Aksi wanita itu berswafoto di atas bumbung keretanya dirakam pula oleh penduduk setempat yang melintasi lokasi kejadian di Sungai Rideau, Manotick, hujung minggu lalu.
Ketika dia sibuk memeriksa sudut rakaman terbaik, penduduk tempatan pula sibuk berusaha mencari jalan untuk menyelamatkannya daripada tenggelam bersama kereta tersebut.
Mereka akhirnya berjaya mencari sebuah kayak biru dan mengikatnya dengan tali untuk menyeret wanita itu keluar dari lubang ais yang besar.
Polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan sekitar pukul 4.30 petang (waktu tempatan). Wanita itu kemudian didakwa kerana memandu kereta secara berbahaya. – Agensi