PETALING JAYA – Selepas berkongsi kejadian dipukul sekumpulan lelaki bermotosikal semalam, penyanyi Alfie Zumi akhirnya tampil membuat permohonan maaf dan mengakui perkongsian tersebut hanya sekadar gimik semata-mata.
Alfie, 28, tidak menyangka kisahnya ‘dipukul’ seperti yang dikongsikan dalam Instagram miliknya semalam meledak dan mendapat perhatian ramai.
“Saya memohon maaf kepada semua. Sebenarnya perkara itu (dipukul) hanyalah gimik untuk video muzik terbaharu saya.
“Jadi sebelum saya menyakiti hati lebih banyak pihak, sebaik-baiknya saya berhenti di sini dan memohon maaf atas kesalahan saya,” katanya menerusi satu hantaran terkini dalam Instagram.
Kata Alfie, gimik yang dibuat itu telah dirancang oleh kenalannya sendiri. Malah kumpulan lelaki bermotosikal yang didakwa telah memukulnya juga adalah terdiri daripada sahabatnya sendiri.
Bagaimanapun, hasratnya untuk melakukan gimik dan mempromosikan muzik video single terbaharunya telah menjadi tular sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam komuniti kumpulan bermotosikal (bikers).
“Saya tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman dan bergerak menggunakan duit sendiri. Saya berharap masyarakat memahaminya.
“Sekali lagi saya mohon maaf dan mengakui kesalahan saya. Saya juga ingin memaklumkan bahawa kumpulan bermotosikal itu juga adalah rakan-rakan saya sendiri. Mereka baik dan sangat menyokong.
“Saya perlu mengaku kesalahan saya sebelum muzik video dikeluarkan. Saya tidak mahu orang ramai menilai rakan-rakan saya sebagai lelaki jahat,” katanya.
Terdahulu, pelantun lagu Sudah Ditentu itu berkongsi kisah dipukul sekumpulan lelaki bermotosikal dalam satu kejadian di Bandar Sri Damansara, semalam.
Alfie dipukul selepas kereta yang dipandunya telah membunyikan hon pada kumpulan lelaki tersebut kerana didakwa telah menghalang laluannya. – K! ONLINE