YAOUNDE, CAMEROON – Ghana yang diperkuatkan dengan ramai bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
Lebih memalukan apabila juara empat kali itu yang menghuni ranking ke-52 dunia, kalah 2-3 kepada pasukan No. 132 dunia, Comoros pada aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Roumde Adji awal pagi semalam.
Ia menyaksikan The Black Stars sekadar menghuni tempat tercorot Kumpulan C di belakang Maghribi, Gabon serta Comoros dan lebih malang apabila gagal merekodkan sebarang kemenangan daripada tiga perlawanan.
Ketua jurulatih Ghana, Milovan Rajevac enggan mencari alasan terhadap kegagalan skuad bimbingannya untuk mencapai sasaran ke pentas final seperti dilakukan pada edisi 2015.
Bagaimanapun, Rajevac, 68, mengakui layangan kad merah terhadap Andre Ayew pada minit ke-25 telah mengubah segala percaturannya dalam aksi itu.
“Kami melepaskan gol awal dan cuba bangkit dalam perlawwanan ini tetapi kad merah telah mengubah segala-galanya. Bagi saya, Comoros berhak meraih kemenangan ini,” katanya.
Tiga gol Comoros diperoleh menerusi satu jaringan El Fardou Ben Nabouhane dan dua daripada Ahmed Mogni.
Ghana pula yang memiliki ramai pemain EPL antaranya Thomas Partey, Daniel Amartey dan Jordan Ayew, sekadar meraih dua gol menerusi Richmond Boakye serta Alexander Djiku. – AGENSI