SEBERANG PERAI – Seorang wanita dari Kampung Permatang Rambai, Kepala Batas di sini terpaksa memikul tanggungjawab besar untuk mengurus keluarga selepas suaminya diserang strok selain mengalami pendarahan otak sejak dua bulan lalu.
Lebih menyulitkan keadaan apabila Umi Kalsom Kassim, 37, turut menderita sakit apabila dia disahkan mengalami slipped disc, sekali gus menyukarkannya untuk bergerak aktif.
Menurut Umi Kalsom, dia tidak mampu untuk melakukan pekerjaan lain buat masa ini, manakala suaminya, Ismail Hasan, 42, hanya mampu terlantar di atas katil.
“Mujurlah anak sulung, Nur Zulaikha Ismail, 12, boleh diharap untuk melakukan kerja-kerja rumah selain menjaga dua lagi adiknya yang masih kecil.
“Saya bersyukur kerana anak-anak tidak banyak kerenah,” katanya kepada Kosmo! kelmarin.
Jelas Umi Kalsom, selain bantuan kewangan dan barangan keperluan harian, dia juga memerlukan dana untuk berulang-alik ke hospital bagi membolehkan suaminya menjalani rawatan susulan.
“Adakalanya, saya juga perlu menghadiri janji temu di hospital dan terpaksa meninggalkan suami di bawah jagaan anak sulung,” ujarnya.
Dalam pada itu, Umi Kalsom berharap agar keadaan suaminya kembali pulih seperti sedia kala bagi membolehkannya mencari rezeki.
“Suami hanya bekerja kampung, tetapi dengan gaji itulahdia menyara kami sekeluarga,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan terus ke akaun Maybank miliknya di nombor 152031440002 atau menghubungi talian 018-4086566.-K! ONLINE