LELAKI kelahiran Pennsylvania, Amerika Syarikat itu bukan satu nama asing dalam acara berprestij dunia, Anugerah Akademi atau Oscars. Sayangnya, dia tidak pernah sekali pun berpeluang pulang dengan trofi ‘mahal’ tersebut.
Bradley Cooper. Sepotong nama yang bukan sahaja hebat dalam dunia lakonan, dia juga seorang pengarah dan pemenang Grammy Awards menerusi lagu Shallow bersama diva pop dunia, Lady Gaga.
Nampak terbalik, namun itulah yang berlaku. Cooper yang setia meletakkan komitmen terhadap lakonan tetapi tidak menjulang Oscar. Berbeza dengan muzik, dia dengan sekelip mata meraih trofi Persembahan Pop Duo/Berkumpulan Terbaik dalam acara Grammy Awards.
Tahun 2022, mantan kekasih kepada model, Irina Shayk itu terus mencuri perhatian peminat dunia menerusi dua karya iaitu Nightmare Alley dan Licorice Pizza.
Dua karya berkenaan, terutama Nightmare Alley dikatakan bakal menamatkan badi dirinya terhadap Oscars. Mungkin sudah tiba waktu untuk Cooper menggenggam trofi Oscars selayaknya.
Pengganti Leonardo DiCaprio
Menerusi wawancara dalam program buat bicara, The Late Show with Stephen Colbert, Bradley, 47, memperincikan tentang penglibatannya dalam filem garapan sutradara prolifik, Guillermo del Toro berjudul Nightmare Alley.
Kata Bradley, rakan baiknya, Leonardo DiCaprio yang sepatutnya berlakon dalam filem berkenaan, namun sesuatu terjadi dan dia terpaksa menggantikan posisi yang dikosongkannya.
“Saya tahu Guillermo nak buat filem ini (Nightmare Alley) dan saya memang peminat nombor satunya. Saya tengok kebanyakan filem-filem garapannya seperti The Shape of Water dan Pan’s Labyrinth.
“Pada mulanya, Leonardo patut melakonkan watak yang saya bawakan. Dia kawan yang sangat saya kagumi. Namun, dia (Leonardo) tak boleh lakukannya. Kemudian, pengurus saya, Dave, beritahu Guillermo nak berjumpa dengan saya.
“Saya terima dengan hati terbuka walaupun bukan pilihan pertama kerana barisan pelakon yang sudah bersetuju untuk filem ini semuanya hebat.
“Cate Blanchett, Willem Dafoe dan David Strathairn, sudah tentu saya akan berlakon sama,” katanya.
Buat khalayak yang sudah menonton Nightmare Alley, pasti akan ‘tersedak’ dengan satu babak dalam tab mandi yang menyaksikan Cooper beraksi berani menayangkan alat sulitnya.
Adegan telanjang
Ujar bapa kepada seorang cahaya mata itu, menjayakan babak berkenaan bukan satu kerja mudah.
Buat pertama kali sepanjang tempoh lebih dua dekad perjalanan seninya, dia mempunyai keyakinan untuk beraksi sedemikian.
“Ketika membaca skrip, saya fikir, babak dalam tab mandi itu perlu dilakukan untuk tujuan penceritaan. Saya kena buat babak itu.
“Saya masih ingat, sewaktu babak itu dirakamkan, saya perlu berbogel di depan kru filem untuk tempoh enam jam dan saya rasa macam, ‘ini sangat berat’ untuk dijayakan,” katanya dalam satu wawancara.
Akui Cooper juga, berpeluang bekerja buat pertama kali dengan Guillermo benar-benar membuka matanya sebagai seorang pelakon dan hubungan mereka menjadi akrab lebih daripada sekadar pelakon dan pengarah.
“Disebabkan filem ini dan apa yang terkandung di dalamnya, apa juga yang kami pelajari dan dengan alasan yang jitu, filem ini memerlukan saya untuk telanjang secara emosi dan rohani,” ujarnya.
Ramai juga beranggapan, Cooper merupakan antara penyebab utama sehingga Lady Gaga tersanjung sebagai aktres pada hari ini.
Disebabkan filem garapannya, A Star Is Born yang diluncurkan pada 2018, Gaga mencipta nama sebagai antara pelakon handalan dunia yang menerima pencalonan Oscars untuk kategori utama Anugerah Akademi.
Kagumi ‘Patrizia’
Cooper turut memuji lakonan yang dijayakan Gaga sebagai Patrizia Reggiani dalam House of Gucci.
“Dia antara pelakon wanita hebat yang kita ada sekarang,” ujarnya.
Mengenang pengalaman dan kualiti kerja yang ada pada Gaga dalam A Star Is Born, wanita itu disifatkan Cooper sebagai pelakon yang berada pada kelas tersendiri.
“Saya masih ingat perkara yang membuatkan saya hampir tidak percaya tentang kredibiliti Gaga sebagai seorang aktres. Nampak macam senang tetapi dia jayakan dengan sangat hebat. Saya tahu Gaga memang dah biasa buat persembahan atas pentas.
“Tapi apabila Ally (karakter dimainkan Gaga) naik pentas buat pertama kali, saya percaya sepenuhnya dia memang tak pernah buat persembahan atas pentas yang ramai.
Sedangkan dia seorang bintang dalam kehidupan realiti.
“Saya macam tak percaya bagaimana dia boleh menjayakan babak tersebut. Saya ‘mati-mati’ percaya yang Gaga tak pernah langsung buat persembahan di depan lebih 20,000 orang penonton sedangkan dia sudah pernah pergi lebih lebih jauh daripada itu. Saya begitu kagum,” ujar Bradley.