fbpx

Bot karam: 3 lagi mayat ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot kayu yang digunakan penyeludup untuk membawa PATI dari Indonesia sebelum karam di perairan Teluk Ramunia, Pengerang, Kota Tinggi, Johor. - Foto oleh MASTURAH SURADI

KOTA TINGGI – Tiga lagi mayat disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang terlibat kejadian bot karam di perairan Teluk Ramunia awal pagi tadi dijumpai kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kesemua mayat wanita itu ditemui pada pukul 7.30 pagi dalam keadaan lengkap berpakaian sekaligus menjadikan baki mangsa disyaki masih hilang seramai tiga orang.

Katanya, kesemua 27 PATI itu dipercayai dalam perjalanan dari Tanjung Tondang Pulau Bintan Indonesia menggunakan bot kayu sepanjang 45 kaki dan disyaki hendak mendarat di kawasan sekitar perairan Teluk Ramunia namun berjaya dikesan pihak berkuasa.

“Bot dari Indonesia itu dilapor karam kira-kira satu batu nautika dari Teluk Ramunia. Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim telah mengesan pergerakan bot mencurigakan membawa PATI dan dipercayai pergerakan bot itu dari Tanjung Tondang, Pulau Bintan Indonesia.

“Bot kayu sepanjang 15 meter atau 45 kaki bewarna coklat tiga enjin dengan berkuasa sepenuhnya 600 kuasa kuda karam disebabkan keadaan cuaca selain berkemungkinan juga kerana menggunakan kelajuan maksimum.

“Dengan jumlah penumpang yang ramai bot berkenaan dipercayai tidak dapat mengawal kestabilan menyebabkan ia karam.

“Kesemua mangsa selamat ditemui dalam keadaan terapung di laut sebelum diselamatkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya pada sidang akhbar di Pos Hadapan Carilamat Zon Maritim Tanjung Sedili di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pengerang hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua PATI berkenaan dianggarkan berusia 20 hingga 40 tahun.

Jelasnya, kesemua 19 mangsa yang terselamat dibawa ke Pos Tanjung Sepang untuk siasatan lanjut manakala mayat dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI