PETALING JAYA – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus selepas mesyuarat hari ini.
BNM dalam siaran akhbar yang dikeluarkan berkata, bagi Malaysia, penunjuk berfrekuensi tinggi terkini memperlihatkan kegiatan ekonomi kembali pulih pada suku keempat, sejajar dengan pelonggaran langkah pembendungan pandemik.
Jelasnya, untuk tahun 2021, pertumbuhan akan berada dalam julat unjuran tiga hingga empat peratus dan momentum pertumbuhan dijangka semakin meningkat tahun ini.
“Peningkatan ini dipacu oleh pengembangan permintaan global dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi berikutan pasaran pekerja yang bertambah baik dan sokongan dasar yang berterusan, meskipun prospek risiko terhadap pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan.
“Risiko-risiko ini mungkin muncul daripada pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan kemunculan varian Covid-19 yang membimbangkan, serius dan kebal vaksin,” katanya.
Menurut BNM, inflasi keseluruhan mencatatkan purata sebanyak 2.3 peratus dari bulan Januari hingga November 2021, manakala bagi tahun 2022, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana apabila kesan asas daripada inflasi bahan api luput.
“Prospek terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global berikutan risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan,” ujarnya. – K! ONLINE