SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan perbicaraan kes merogol bagi pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Syaiful akan mula didengar pada 9 Februari depan.
Hakim Rihaida Rafie memutuskan tarikh 9 hingga 14 Februari, 4 dan 14 April serta 1 hingga 3 Jun selepas dipersetujui pihak pendakwaan dan pembelaan.
Terdahulu, peguam bela, Syed Amirul Syed Edros memohon mahkamah melapangkan tarikh 15 April memandangkan beliau terlibat dengan prosiding rayuan bagi kes lain di Mahkamah Tinggi.
Syed Amirul turut memohon tarikh bicara yang lain memandangkan pegawai penyiasat bagi kes berkenaan dijangka bersalin pada Februari hadapan dan cuti bersalin akan mengambil masa tiga bulan bagi membolehkan saksi berkenaan dipanggil untuk memberi keterangan.
Timbalan Pendakwa Raya, P. Reetha turut memohon saksi berkenaan dipanggil antara Jun atau Julai hadapan selain memaklumkan bilangan saksi pendakwaan telah dikurangkan daripada 20 orang kepada seramai 12 saksi sahaja.
Berdasarkan pertuduhan, Syed Shah Iqmal didakwa merogol seorang wanita berusia 23 tahun yang juga penganggur di sebuah rumah di Hyde Tower , I-City, Seksyen 7 di sini pada pukul 11.35 malam, 11 September 2019.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.-K!ONLINE