KUALA LUMPUR – Seramai 500 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara memerlukan bantuan lampin pakai buang untuk kegunaan diri mereka.
Presiden Persatuan Veteran ATM (PVATM), Datuk Sharuddin Omar berkata, pihaknya setakat ini sekadar mampu memberi bantuan tersebut kepada seramai 172 veteran ATM.
“Secara purata setiap mereka memerlukan tiga “pampers” sehari. Anggaran kos bantuan “pampers’ kepada seramai 172 veteran itu RM272,000.
“Kami berharap lebih ramai pihak tampil menghulurkan bantuan tersebut untuk mereka,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Pahlawan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sharuddin berkata, PVATM sedang mengesan pusara-pusara anggota tentera yang terkorban dalam peperangan.
Menurut beliau, peperangan itu termasuk semasa zaman negara berdepan ancaman komunis, darurat dan konfrontasi Indonesia.
Kata beliau, PVATM setakat ini telah mengesan sebanyak 18 pusara anggota tentera yang terkorban semasa mempertahankan tanah air.
“Kami difahamkan jumlah keseluruhan anggota tentera yang gugur di medan pertempuran lebih 2,500 dan kami sedang mengesan pusara mereka.
“Jika sesiapa ada maklumat sila maklumkan pada kami. Jasa mereka perlu diketahui oleh masyarakat zaman ini,” katanya. – K! ONLINE