PETALING JAYA – “Syukur atas izin Allah untuk diri ini terus bernafas”.
Demikian luahan pelakon Azhan Rani yang terselamat selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Rawang, Selangor, Isnin lalu.
Menerusi hantaran dalam Instagram sebentar tadi, Azhan turut mengucapkan terima kasih kepada rakan baiknya juga pelakon, Beto Kusyairi dan isteri, Tisha Shahar yang banyak membantu selepas kemalangan tersebut.
“Doktor kata tulang scapula (belikat) saya pecah tetapi dua insan hebat ini menjadi tulang belakang saya untuk terus berdiri. Dahulu dan kini, harta paling lumayan anugerah Ilahi buatku.
“Terima kasih sahabat Beto Kusyairi dan Tisha Shahar serta sahabat-sahabat lain yang tidak berhenti bertanya khabar. Semoga syurga menunggu buat kalian di sana nanti.
“Terima kasih juga di atas ingatan dan doa-doa semua. Ampun maaf tidak dapat hendak jawab dan membalas semuanya. Insya-Allah, saya akan okey atas izin Allah SWT. Alhamdulillah,” tulisnya yang kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Rawang.
Tidak setakat itu, pelakon drama fenomena Nur itu juga turut berterima kasih kepada beberapa pihak yang membantunya pada hari kejadian.
“Kepada Muhammad Firdaus dan sesiapa yang membantu pada hari kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari, semoga Allah SWT merahmati kalian.
“Terima kasih juga kepada dua pemandu lori yang berjaya menghentikan lori dan tidak melanggar saya,” katanya.
Pada hantaran sama, Azhan turut memohon maaf kepada dua lelaki yang turut terbabit dalam kemalangan itu kerana meninggikan suara terhadap mereka ketika dalam ambulans.
“Buat dua adik yang menaiki motor kapcai tengah bersembang tidak memandang depan dan masuk lane (lorong) saya secara tiba-tiba, semoga kamu berdua tidak apa-apa. Maaf, saya naikkan suara ketika dalam ambulans hari itu.
“Mohon jangan membawa motor dengan cara merbahaya begitu lagi. Kita sama-sama syukur Allah SWT bagi kita peluang untuk hidup lagi. Maaf juga buat motor awak hancur,” katanya.
Dalam kemalangan pada Isnin lalu, Azhan mengalami pecah tulang belikat kiri, retak tulang bahu dan tiga tulang rusuk, selain kecederaan kecil.
Sewaktu kejadian, Azhan yang dalam perjalanan ke lokasi penggambaran dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi bertembung dengan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki. – K! ONLINE