LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte terus diuji apabila tidak dapat menggunakan beberapa khidmat pemain utama untuk aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leicester City di Stadium King Power awal pagi esok.
Difahamkan, bintang Korea Selatan, Son Heung-min terpaksa diketepikan kerana masih belum pulih daripada kecederaan dialami ketika bertemu Chelsea sebelum ini.
Conte sendiri tidak pasti tarikh sebenar Heung-min akan kembali kerana menjangkakan penyerang itu hanya sempat pulih seawal bulan depan.
“Kami tidak dapat menggunakan khidmatnya untuk pertemuan dengan Leicester kerana dia masih dibelenggu kecederaan. Sudah tentu ia sesuatu yang sukar buat kami.
“Saya tidak tahu bila dia akan pulih sepenuhnya, mungkin dia perlukan masa sehingga Februari depan. Kami akan cuba tangani masalah ini ketika bertemu Leicester,” kata pengendali dari Itali itu.
Selain Heung-min, Spurs juga belum pasti boleh menurunkan pemain tengah, Eric Dier kerana masih tidak berlatih selepas mengalami kecederaan otot.
Bagaimanapun, Spurs boleh menarik nafas lega selepas pemain sayap, Steven Bergwijn dilaporkan sudah pulih daripada kecederaan yang dialami, namun tahap kecergasannya masih perlu dinilai terlebih dahulu sebelum perlawanan itu. – AGENSI