PETALING JAYA – Perbadanan Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor (Sidec), telah mengagihkan dana sebanyak RM5 juta kepada 1,048 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yong Kai Ping berkata, melalui dana tersebut, PKS boleh memperoleh geran padanan sehingga RM5,000 untuk menggalakkan mereka mengambil langkah pertama dalam mendigitalkan perniagaan masing-masing.
Menurut beliau, pada bulan Oktober lalu, sebanyak 1,047 PKS telah berjaya mendigitalkan perniagaan mereka dalam lima bidang utama iaitu sistem sumber manusia dan gaji, perakaunan awan, pemasaran digital, e-dagang serta gerbang pembayaran.
“Melalui inisiatif itu, kebanyakan PKS terlibat dalam sektor perkhidmatan, pembuatan, makanan dan minuman (F&B), peruncitan dan perdagangan, pendidikan dan logistik menyaksikan peningkatan jualan serta meminimumkan kos operasi.
“Ia juga memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk di kawasan bandar, tetapi mereka yang berada di pinggir bandar seperti di Ijok, Kuala Selangor dan Serendah turut menerima manfaatnya,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Kai Ping menjelaskan, Sidec juga akan terus memperkukuh dan mengembangkan ekosistem digital Selangor untuk PKS mengurangkan jurang digital dengan melahirkan bakat digital dan mempercepatkan syarikat pemula tempatan menjadi ikon teknologi serantau.
Berdasarkan keadaan literasi digital dalam kalangan rakyat Malaysia, jelasnya, sebanyak 75 peratus penduduk memiliki kemahiran asas teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan hanya 15 peratus dilengkapi dengan kemahiran lanjutan.
“Sehubungan itu, Sidec sentiasa berusaha untuk melahirkan lebih ramai bakat untuk menjadikan Selangor sebagai hab digital ASEAN.
“Bagi mencapai matlamat ini, Sidec akan terus menambah baik programnya, termasuk Selangor Online 100 dan Brands 100, Kelas E-Dagang, Masterclass dan Selangor Accelerator Programme (SAP),” ujarnya.