JOHOR BAHRU – Kertas siasatan berhubung kes gangguan seksual melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain terhadap Ahli Jawatankuasa Srikandi Bersatu, Bahagian Kota Tinggi dijangka akan dilengkapkan minggu ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, setakat ini, polis sudah memanggil beberapa individu untuk memberi merakam keterangan berkaitan dakwaan tersebut.
Katanya, ADUN berkenaan serta wanita yang membuat laporan itu juga telah dipanggil untuk bagi melengkapkan siasatan yang dijalankan.
“Setakat ini, siasatan masih dijalankan dan beberapa individu telah kita panggil untuk merakam percakapan berhubung kes ini.
“Kita masih lagi menyiasat, inshaAllah siasatan dilakukan secara adil dan mungkin memerlukan masa dua tiga hari untuk selesaikan siasatan ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan dibuat wanita berusia 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi.
Menerusi laporan tular itu, mangsa mendakwa telah diganggu secara seksual sebanyak empat kali ketika hadir ke program-program yang dihadiri ADUN berkenaan. -K! ONLINE