PUTRAJAYA – Ibu pejabat UMNO tidak pernah mengadakan perbincangan dengan UMNO Johor bagi dibubar Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibuat Pilihan Raya Negeri (PRN).
Perkara ini disahkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden parti itu sebagai mengulas desas-desus UMNO bersiap sedia PRN negeri tersebut.
“Perkara itu (PRN) terserah kepada Menteri Besar selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (Datuk Hasni Mohamad) sendiri kalau beliau rasa memang ada keperluan.
“Seperti kelaziman, beliau masih perlu menghadap Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) untuk beri nasihat jika wajar DUN dibubarkan sekarang untuk buat PRN,” katanya selepas menghadiri Program Eksklusif Bersama Perdana Menteri dan melancarkan Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di sini hari ini.
Khabar angin mengenai PRN Johor bertiup kencang susulan kedudukan kerajaan negeri tidak lagi kukuh apabila hanya memiliki majoriti satu kerusi dalam DUN berbanding pembangkang.
Situasi itu susulan kematian mengejut bekas Menteri Besar ke-16, Datuk Osman Sapian yang juga ialah ADUN Kempas dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada 21 Disember tahun lalu.
Mengulas lebih lanjut, Ismail Sabri dalam nada berjenaka berkata, isu PRN Johor juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat mingguan Kabinet apatah lagi mesyuarat ibu pejabat UMNO. – K! ONLINE