fbpx

Pihak hotel pulangkan bayaran, nafi tidak ambil berat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan keadaan seorang kanak-kanak melecur akibat terkena air panas di hotel berkenaan di Port Dickson.

PORT DICKSON – Pihak pengurusan sebuah hotel telah membuat laporan polis terhadap sebuah video yang tular dimedia sosial berkenaan luahan seorang pelanggan yang mendakwa pihak hotel gagal memberi layanan dan bersikap tidak ambil berat dengan kemalangan yang menimpa anaknya.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan itu lebih kurang pukul 4.04 petang semalam daripada seorang wanita berusia 47 tahun yang merupakan seorang pekerja bahagian pengurusan hotel tersebut.

“Laporan dibuat berikutan satu video yang telah ditularkan melalui aplikasi Tiktok dan Facebook daripada satu akaun berhubung kekesalan dan tidak puas hati seorang pelanggan terhadap layanan serta sikap tidak ambil berat pihak pengurusan hotel.

“Ini ekoran telah berlaku satu kejadian pada 12 Januari lalu dimana seorang anak kepada pelanggan hotel mengalami kecederaan melecur sebanyak enam peratus pada bahagian tangan dan badan akibat terkena tumpahan air panas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pihak keluarga telah membuat aduan dengan mendakwa pengurusan hotel gagal dalam aspek pengubahsuaian dan kedudukan susun atur barang di dalam bilik sehingga menyebabkan kejadian berlaku kepada anaknya.

“Pihak pengurusan hotel dengan rasa simpati atas kejadian telah memulangkan semula bayaran hotel kepada keluarga mangsa dan menafikan tidak mengambil berat terhadap kejadian yang menimpa keluarga mangsa, sebaliknya mengambil maklum aduan yang dibuat,” katanya.

Melalui video berdurasi 52 saat memaparkan kaki peti ais yang diubahsuai menyebabkan kedudukannya tidak stabil lalu terjatuh dan hampir menimpa anaknya.

Lebih malang, dalam video itu memaklumkan bersebelahan peti ais terdapat cerek elektrik dengan air yang baru dipanaskan turut terjatuh dan terkena pada anaknya sehingga melecur.

“Laporan telah dibuat kepada pihak hotel tetapi malangnya hanya sedikit pampasan diberi dan ianya tidak setimpal dengan kejadian menimpa anak saya,” dakwa pemilik akaun Tiktok @harrunarashid123. -K! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI