WELLINGTON, NEW ZEALAND – Menteri Pertahanan New Zealand, Peeni Henare dikecam netizen gara-gara memuat naik gambar swafoto di gimnasium beserta kenyataan yang memaparkan rasa simpati beliau kepada mangsa bencana tsunami di Tonga, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Netizen rata-rata menyifatkan hantaran itu jelas tidak sensitif kerana menzahirkan rasa simpati mengenai bencana sambil bersenam.
“Doa kami bersama penduduk Tonga. Kami telah menghantar pasukan tindak balas dan lebih banyak bantuan akan disalurkan,” tulisnya pada keterangan gambar tersebut.
Hantaran itu menerima kecaman hebat dengan ramai pengguna media sosial meninggalkan pelbagai komen menyelar tindakan Henare.
“Menggunakan bencana alam hanya sebagai alat untuk meraih populariti dalam gambar-gambar bersenam di gimnasium. Anda adalah seorang badut,” kata seorang netizen.
Sementara itu, menurut laporan Newshub, Henare telah membuat permohonan maaf berhubung kontroversi gambar tersebut.
“Saya memohon maaf sekiranya gambar itu menyinggung perasaan sesiapa sahaja.
“Tujuan gambar itu dimuat naik adalah untuk meminta orang ramai menonton sidang akhbar yang diadakan (Ahad) bagi memaklumkan maklumat terperinci mengenai situasi di Tonga,” katanya ketika berdiri di sisi Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. – AGENSI