SKUAD Projek Khas Hoki Wanita Kebangsaan berada pada fasa terakhir persiapan menjelang kejohanan Piala Asia Wanita di Muscat, Oman bermula 21 hingga 28 Januari depan.
Ketua jurulatih, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berharap skuad kendaliannya dapat menjalani sekurang-kurangnya dua aksi pemanas badan sebelum perlawanan pertama menentang India Jumaat ini.
Beliau berkata, pihaknya sedang berunding dengan beberapa pasukan termasuk China untuk mengadakan aksi persahabatan bagi memastikan Malaysian Tigress benar-benar bersedia menjelang aksi pembukaan.
“Sepatutnya perancangan awal adalah untuk menentang Korea Selatan pada 19 Januari (hari ini) tetapi mereka ada perancangan lain, jadi kita terpaksa cuba nasib dengan negara lain tetapi belum dapat jawapan.
“China adalah pilihan seterusnya kerana jadual latihan mereka sama seperti kita, jadi saya harap mereka sudi untuk berlatih bersama Malaysia. Kami mahukan dua aksi persahabatan, tetapi jika satu pun ia sudah memadai,” katanya.
Justeru, beliau sedia untuk bertemu dengan jurulatih serta pengurus mana-mana pasukan bagi membincangkan perkara itu sebaik mereka tiba di Muscat nanti kerana menganggap aksi pemanas badan penting buat pasukan negara.
Dalam pada itu, Nasihin juga percaya Oman sudah menyediakan fasiliti terbaik bagi memudahkan pergerakan setiap pasukan yang bertanding selain menjaga kecergasan pemain.
“Pada kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2018, mereka (Oman) berjaya anjurkan kejohanan yang cukup baik. Hotel juga memiliki gimnasium serta kolam renang, jadi bagus untuk proses pemulihan pemain,” ujarnya.