PUTRAJAYA – Kerajaan memuktamadkan isu-isu yang berkaitan memorandum persefahaman (MoU) berhubung Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) pada Isnin depan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, beliau akan bertemu dengan Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia, Ida Fauziyah bagi membolehkan MOU berkaitan dapat ditandatangani pada 7 dan 8 Februari depan di Bali.
Katanya, pertemuan itu turut disertai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga dalam siri lawatan kerja ke Indonesia pada tempoh tersebut
“Pertemuan ini juga selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Januari 2022 agar satu lawatan diadakan bagi menyelesaikan isu berbangkit berhubung pemeteraian MOU tersebut.
“Isu-isu utama berkaitan dengan MOU tersebut berhubung One Maid One House, One Channel System dan gaji PDI telah pun disepakati menerusi siri rundingan di antara kedua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saravanan berkata, MoU terdahulu telah ditandatangani Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Dr. Fong Chan Onn pada tahun 2006 di Bali, Indonesia.
“Seterusnya, Protokol bagi meminda MOU tersebut telah ditandatangani di Bandung, Indonesia pada tahun 2011,” katanya.
Minggu lalu, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan perjanjian bekalan tenaga buruh dari Indonesia bakal dipercepatkan bagi menampung keperluan industri pembinaan negara. – K! ONLINE