KOMUNIKASI antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pihak berkaitan dengan pemain skuad remaja daripada Brighton & Hove Albion, Jaami Qureshi sudah dilakukan sejak pertengahan 2020.
Pengesahan daripada FAM itu menafikan segala tuduhan tidak berasas termasuk daripada bapa pemain itu, Perviz Qureshi yang mendakwa, badan induk itu langsung tidak ‘bergerak’ untuk membawa pulang anaknya ke Malaysia.
Bagaimanapun, beberapa komunikasi gagal mencapai kata sepakat dan FAM tidak memperoleh komitmen daripada pemain itu untuk memilih Malaysia sebagai pasukan pilihannya. Dia memilih untuk menerima kerakyatan Iraq.
Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya juga berhubung dan berbincang dengan pengurus Akademi Brighton & Hove Albion, John Morling bagi membolehkan Jaami menyertai latihan pusat skuad bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan menjelang Kejohanan Asia AFC B-19 yang sepatutnya diadakan di Uzbekistan pada 2020.
Katanya, FAM menafikan dakwaan kononnya tiada usaha untuk memastikan pemain remaja yang berpangkalan di England, Jaami Qureshi diberi peluang mewakili negara.
“Perviz Qureshi juga pernah mengadakan pertemuan dengan bekas Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, dalam membincangkan status anaknya pada 2020.
“Menerusi komunikasi di antara FAM dan Qureshi sekitar Julai 2020, bapa pemain itu mahu Jaami diberi keistimewaan taraf kerakyatan tanpa perlu melalui proses penilaian teknikal daripada jurulatih Brad Maloney ketika itu.
“Sebagai badan induk bola sepak negara, FAM tidak berkompromi dalam mematuhi peraturan, garis panduan dan undang-undang kerajaan berhubung proses kuarantin berkaitan Covid-19 serta taraf kerakyatan untuk mana-mana individu bagi semua peringkat umur pasukan kebangsaan,” katanya.