PASIR MAS – Seorang ibu dua anak hilang secara misteri sejak seminggu lalu di Stesen Kereta Api Pasir Mas sebelum ditemui semula dalam keadaan kebingungan di Lubok Jong di sini semalam.
Noor Amira Mohamed, 24, yang dilaporkan hilang ketika turun di stesen tersebut sejak 12 Januari lalu ditemui dalam keadaan letih dan lesu kira-kira pukul 10 malam tadi.
Suaminya, Lokman Hakim Azizi, 26, berkata, Noor Amira menaiki kereta api dari Kuala Lipis untuk pulang ke Rantau Panjang kerana mahu menjaga ibunya yang jatuh sakit pada 11 Januari.
“Bagaimanapun, pada pukul 10 pagi keesokan harinya, saya terputus hubungan dengan isteri apabila panggilan telefon tidak dijawab malah mesej melalui WhatsApp juga tidak berbalas.
“Dia sepatutnya turun di Stesen Pasir Mas pada pagi 12 Januari, namun hilang tanpa khabar berita. Selepas 24 jam hilang, ibu mentua saya untuk membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Lokman Hakim berkata, sebaik tiba di Stesen Pasir Mas, ada individu mendakwa ternampak isterinya duduk termenung di bangku sebelum disapa pemandu kereta sewa yang kemudian membawanya pergi.
Menurutnya, bimbang dengan keselamatan isteri, dia terus berkongsi berita kehilangannya menerusi laman sosial Facebook selain keluar mencari Noor Amira di seluruh Kelantan dan Terengganu.
“Pencarian isteri berakhir apabila saya dihubungi pihak polis yang memaklumkan dia sudah ditemui malam tadi oleh orang awam di Lubok Jong, namun tidak dapat menjelaskan lokasi sebenar dia pergi sepanjang tempoh itu.
“Buat masa ini, saya memberi ruang kepada isteri untuk berehat dan bertenang sebelum menunggu masa yang sesuai untuk bertanya ke mana dia menghilang,” katanya. – K! ONLINE