PUTRAJAYA – Islam menetapkan ikan lumba-lumba halal dimakan berdasarkan hujah dan petunjuk daripada al-Quran dan sunnah.
Namun, spesis mamalia itu termasuk didalam kategori haiwan terancam yang dilindungi iaitu tidak boleh diburu dan juga dimakan berdasarkan akta dan undang-undang di Malaysia dan antarabangsa.
Perkara itu dikupas oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi saluran portalnya, Maktabah Al-Bakri hari ini.
Zulkifli berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam untuk bersama-sama dalam memastikan kelangsungannya buat generasi akan datang supaya dapat melihat dan mengenali haiwan itu.
Menurutnya, ia bertepatan dengan kaedah Saddu al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar.
“Pemerintah juga berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahah yang lebih penting.
Berbeza pula dengan gajah, Zulkifli berkata, para ulama mempunyai pandangan berbeza mengenai hukum makan gajah.
Katanya, Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ menyatakan bahawa gajah haram dimakan di sisi mazhab al-Syafi’ie, Abu Hanifah, al-Kufiyyun dan al-Hasan, manakala al-Sya’bi, Ibn Syihab dan Malik pula membenarkannya untuk dimakan.
“Menurut jumhur ulamak dalam kalangan mazhab Hanafi, Syafi’ie dan Hanbali, daging gajah haram dimakan kerana ia tergolong dalam binatang bertaring.
“Setelah kami meneliti dalil-dalil dan pandangan ulama serta melihat kepada realiti dan waqi’ Malaysia, kami menyimpulkan bahawa haram memakan daging gajah.
“Kami mengambil salah satu pendapat di dalam mazhab Syafie dan ini merupakan pendapat yang lebih selamat (Ahwat),” katanya. – K! ONLINE