PETALING JAYA – Iconic Worldwide Berhad (Iconic) mengunjurkan sumbangan daripada segmen sarung tangan bakal menjadi penyumbang utama sehingga 80 peratus kepada hasil Kumpulan manakala bakinya daripada segmen pelitup muka.
Pengarah Eksekutifnya, James Tan berkata, jumlah ini bakal dicapai selepas 12 barisan celupan sarung tangan berganda mula beroperasi menjelang bulan Mac tahun ini berbanding enam barisan sebelum ini.
Kilang tersebut turut memiliki 20 barisan pengeluaran pelitup muka perubatan yang difokuskan untuk pengeluaran domestik manakala kira-kira 10 peratus untuk pasaran eksport ke Afrika.
“Buat masa ini, sumbangan masing-masing daripada segmen pelitup muka dan sarung tangan kepada Kumpulan adalah sebanyak 50 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian kilang pengeluaran sarung tangan dan pelitup muka bernilai RM200 juta di Batu Kawan, Pulau Pinang baru-baru ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Kilang berautomasi tinggi yang terletak dalam kawasan seluas 2.2 hektar itu dijangka memiliki kapasiti sehingga 3.3 bilion keping sarung tangan dan juga 220 juta keping pelitup muka setahun.
Melalui tempahan yang terus meningkat untuk sarung tangan daripada negara utama seperti Amerika Syarikat, Eropah, Afrika dan juga Asia, ia bakal meletakkan Iconic berada pada landasan yang kukuh untuk menjadi peserta utama dalam pasaran global menjelang lima tahun akan datang.
Lebih menarik, perasmian kilang baharu ini bertepatan dengan waktunya apabila dalam tempoh kurang sebulan sebelum itu, Kumpulan telah memperoleh kelulusan pemberitahuan prapasaran 510 (k) daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS untuk mengedarkan sarung tangan gred perubatan di seluruh Amerika Syarikat.
Selain itu, Kean Tet menjelaskan, Kumpulan bercadang melabur kira-kira RM20 juta lagi untuk menjadikan kilangnya beroperasi secara automasi penuh 100 peratus berbanding 80 peratus pada masa sekarang.
Tambah beliau, tempoh tersebut dijangka mengambil masa kira-kira setahun.