BENTONG – “Kami berasa berdebar setiap kali telefon berbunyi dan tertera nombor yang tidak dikenali.”
Itulah situasi mencemaskan yang dialami ahli keluarga seorang lelaki warga emas yang hilang selepas dihanyutkan dalam tragedi kepala air di Telemong di sini pada 18 Disember tahun lalu.
Semalam genap sebulan kejadian itu berlaku dan ahli keluarga mangsa, Ahmad Yahaya, 71, masih menunggu maklumat mengenai kehilangan warga emas tersebut
Cucu mangsa, Ahmad Amir Amzar Yumarzaki, 27, berkata, keluarganya masih berharap jasad datuknya ditemui bagi membolehkan urusan pengebumian dilakukan walaupun sudah sebulan hilang dalam kejadian kepala air.
“Sebelum ini, polis memaklumkan terdapat satu mayat yang mana keadaannya separuh hancur ditemui di kawasan hilir Sungai Dua.
“Oleh kerana tiada laporan polis mengenai laporan orang hilang diterima maka keluarga saya diminta supaya membuat ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA). Setakat ini kami masih menunggu keputusan DNA tersebut,” katanya.
Menurut Ahmad Amir, mereka sekeluarga termasuk ayahnya tidak berputus asa dan terus berdoa agar jasad datuknya ditemui biarpun kejadian tersebut sudah sebulan berlalu.
Berita berkaitan: 5 hilang, 5 kereta hanyut dalam kejadian kepala air
Berita berkaitan: Tolonglah segera selaamtkan kami
Bercerita lanjut, pemuda itu memberitahu, dia dan ahli keluarganya kerap ke jambatan tersebut yang merupakan lokasi kejadian untuk meninjau dengan harapan mayat datuknya ditemui.
“Saya meminta kepada orang ramai supaya bersama-sama mendoakan agar jasad datuk saya ditemui dan jenazahnya dapat dikebumikan di tanah perkuburan,” katanya.-K! ONLINE