SEKS, menggoda dan mengghairahkan. Tiga frasa tersebut cukup untuk mendefinisikan betapa beraninya persembahan karakter si cantik, Jasmine Suraya menerusi naskhah Villa Kristal yang merisikokan banyak kecaman.
“Itu bukan Jasmine Suraya tetapi seorang wanita bernama Angel.”
Berkali-kali ungkapan tersebut terbutir dari bibir si cantik Jasmine Suraya bagi menyejukkan kepanasan yang tiba-tiba meledak selepas babak ranjang lakonannya ditayangkan kepada media dan tetamu pada majlis pratonton naskhah Villa Kristal baru-baru ini.
Terdetik juga dalam hati penulis tentang pengakuan Jasmine tidak lama dahulu, betapa dia dia bersedia untuk melakonkan aksi ranjang dan aktor pilihannya ialah Remy Ishak.
Bezanya, kali ini bukan Remy seperti yang diharapkan, sebaliknya seorang aktor bersama Alvin Wong. Sedikit tersasar daripada yang diimpikan, namun persembahan babak intim Jasmine cemerlang ‘berani’.
Adegan ranjang mencabar
Tidak pernah memandang ringan atau skeptikal berhubung aksi ranjang, aktres berusia 33 tahun itu mengakui berdepan cabaran apabila perlu menjayakan babak panas dalam drama berkenaan.
Jelas Jasmine, watak Angel lakonannya merupakan bekas pramugari dan guru yoga yang tinggal di Villa Kristal.
Biarpun mengidamkan sebuah karakter yang ‘daring’, Jasmine tidak sembrono membabi buta, sebaliknya berfikir dua kali sebelum menerima tawaran watak berkenaan.
Itulah antara dilema yang dilalui pemilik nama penuh Jasmine Suraya Chin Xian Mei sebelum bersetuju menjadi Angel.
“Watak Angel sangat menggoda. Saya berfikir dua kali sebelum bersetuju untuk terima tawaran berlakon drama ini.
“Apabila difikir dan menonton semula, semua yang dipaparkan, itu bukan diri saya yang sebenar tetapi karakter bernama Angel,” katanya kepada HibGlam.
Akui bintang filem Paskal itu, karya arahan Khabir Bhatia dan Jason Chong tersebut mengandungi banyak babak panas seperti hubungan seks lakonannya bersama Alvin.
Ujarnya, walaupun kesemua aksi ranjang lakonannya kelihatan seperti benar-benar berlaku, hakikatnya babak tersebut terhasil daripada kreativiti dan dan teknik kamera semata-mata.
“Susah sebenarnya untuk lakonkan adegan itu kerana memerlukan teknik kamera yang terperinci supaya nampak realistik.
“Walaupun nampak intim tetapi sebenarnya tiada sentuhan fizikal melainkan hanya sentuhan tangan,” jelasnya mengenai adegan panas tersebut.
Bukan sahaja terlibat dengan babak panas dengan Alvin, Jasmine juga perlu melakonkan babak panas bersama seorang lagi pelakon lain.
“Biarpun ada hubungan dengan seorang lelaki lagi, watak Angel ini sebenarnya sangat kelakar, ceria dan penyayang.
“Dia buat sahaja apa yang dia nak buat. Saya rasa itu adalah mesej yang saya nak beritahu kepada semua orang bahawa anda boleh lakukan apa yang anda mahu tetapi jangan menyakiti orang lain,” jelasnya lagi.
Diet, berisi
Demi tuntutan watak Angel yang merupakan jurulatih yoga, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu juga terpaksa menurunkan berat badan.
“Sebenarnya saya terpaksa diet dan bersenam dua kali sehari untuk sesuaikan diri dengan watak dan penampilan Angel.
“Dia seorang jurulatih yoga. Sebelum masuk set, badan saya agak berisi dan disebabkan itu, saya tidak menjamah nasi selama enam minggu.
“Agak terseksa lebih-lebih lagi ketika itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi demi kerja, saya korbankan nafsu makan,” kata aktres berusia 33 tahun itu.
Ditebak, sama ada sudah bersedia dengan kecaman ramai, Jasmine yang popular menerusi drama Bidadari Salju mengakui, terbuka dengan sebarang kritikan atas kapasiti seorang pelakon.
“Kisah dalam Villa Kristal sudah lama tidak disaksikan di Malaysia, yang benar-benar berani mengambil risiko. Bila lagi kita nak mempunyai naskhah sebegini.
“Naskhah ini bukan cerita yang klise dan jalan ceritanya seperti drama Hollywood, Sex and the City dan Desperate Housewife.
“Saya juga pasti ramai pelakon wanita lain teringin untuk berlakon dalam naskhah sebegini,” katanya lagi.
Jadi Shalin Zulkifli
Teruja berkongsi perkembangan kariernya, Jasmine juga bakal muncul dalam sebuah drama biografi mengisahkan kehidupan ikon boling negara, Shalin Zulkifli.
“Saya bakal bekerjasama kali pertama dengan Sheila Rusly untuk sebuah drama kisah biografi Shalin dan wataknya saya yang akan pegang.
“Ini adalah satu cabaran yang saya tak pernah buat sebelum ini. Saya bawa watak seorang yang masih hidup dan figura yang terkenal dengan pelbagai kejayaan dalam arena sukan boling,” ujarnya teruja.
Selain menelaah skrip, dia juga harus mengkaji keperibadian dan karakter Shalin agar watak tersebut hidup dan tidak suram.
“Cabaran sebenarnya adalah dari segi fizikal sebab watak ini menuntut saya menambah berat badan sebanyak lima hingga lapan kilogram.
“Agak sukar sebab dalam Villa Kristal saya perlu diet, tetapi sebaliknya pula untuk drama lain, terutama dalam tempoh yang singkat.
“Cabaran lain ialah menyelami karakter Shalin, namun atas kapasiti sebagai pemain boling, rasanya saya tidak masalah kerana mempunyai pengalaman dalam sukan tersebut,” katanya yang pernah pernah mewakili Sarawak dalam sukan boling 10 pin dan pernah mewakili negeri dalam Pertandingan Kejohanan Junior Milo Kebangsaan pada usia 14 tahun.
Bercakap tentang karier seni yang dimulakan sembilan tahun, Jasmine kini lebih selektif dalam menerima tawaran lakonan bagi menyerlahkan bakatnya.
“Ada beberapa tawaran yang datang, jadi saya ambil yang istimewa dan berkualiti dari aspek cabaran, karakter, pengarah dan barisan pelakon lain.
“Ramai yang kenal saya menerusi watak antagonis. Jadi, itu antara persepsi umum yang cuma saya tinggalkan, sekali gus buktikan mampu menjayakan watak lain
“Dalam perkembangan lain, saya kini mengusahakan bisnes jeruk. Rakan saya sudah jual di Sarawak dan memang ramai yang suka.
“Sekarang kilang sudah ada di sini dan jeruk tersebut akan dijenamakan semula sebelum dipasarkan sekitar Februari depan,” tutupnya.