GERIK – Seorang wanita Orang Asli selamat melahirkan bayi kembar lelaki dalam sebuah bot ambulans ketika melalui Tasik Banding untuk ke Hospital Gerik, Sabtu lalu.
Zantima Zabree, 34, selamat melahirkan bayi kembarnya pada pukul 11.20 hingga 11.25 pagi, dibantu pegawai perubatan, jururawat kesihatan dan penolong perawatan kesihatan Klinik Pos Kemar.
Kelahiran bayi dengan berat 2.4 dan 1.3 kilogram itu dikongsi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak melalui hantaran di laman sosial Facebooknya hari ini.
Menurut JKN Perak, kejadian berlaku semasa usaha membawa wanita dengan usia kandungan 35 minggu ke Hospital Gerik setelah dikesan sedang sakit untuk bersalin oleh jururawat masyarakat yang membuat lawatan ke rumahnya.
Kata kenyataan itu, tindakan pantas petugas kesihatan membolehkan wanita terbabit melahirkan bayi kembarnya dengan selamat.
“Ibu dan bayi kembar itu dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi mendapatkan rawatan susulan,” ujar kenyataan itu. – K! ONLINE.