LONDON – Pemandu kelahiran Sepanyol, Carlos Sainz melaungkan amaran bahawa dia sudah bersedia 100 peratus untuk berjuang merebut gelaran dunia pada saingan Formula Satu (F1) bersama pasukan Ferrari musim ini.
Ferrari sudah membuat langkah besar pada perlumbaan musim 2021 selain berada di kedudukan ketiga keseluruhan, sekali gus menjulang pasukan dari Maranello, Itali tersebut dan berharap mereka mampu kembali menjuarai perlumbaan selepas perubahan jentera musim ini.
Empat podium yang mengagumkan ketika menyertai Ferrari musim 2021 membolehkan pemandu berusia 27 tahun itu berada di kedudukan kelima keseluruhan.
Walaupun dia masih belum berjaya memenangi Grand Prix, namun Sainz menegaskan, dia sudah bersedia untuk memperjuangkan gelaran dunia F1 sebaik memulakan pemburuan pada 2022 nanti.
“Saya bersedia 100 peratus apabila memulakan musim kedua bersama Ferrari. Saya lebih yakin ketika pertengahan musim perlumbaan.
“Saya bersedia untuk apa sahaja yang bakal dihadapi pada perlumbaan akan datang.
“Jadi, dengan usaha dan kerja keras pasukan terutama bagi projek 2022 telah meletakkan diri saya di laluan yang baik untuk mencipta kemenangan bersama Ferrari.
“Sejak memulakan saingan bersama Ferrari, saya lihat banyak kemajuan dicapai. Sejujurnya, perasaan untuk masuk ke musim 2022 adalah sangat positif dan saya fikir Ferrari akan menuju ke arah yang baik dengan momentum yang terbaik,” tegas Sainz. – AGENSI