fbpx

Redah jeram bukti keberanian diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PESERTA perlu bekerjasama dan sentiasa patuh arahan jurulatih agar rakit dapat melepasi setiap jeram yang dilalui dengan selamat.

SELEPAS mendapat jemputan untuk mengikuti aktiviti berakit meredah jeram (white water rafting) bertempat di Sungai Selangor, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 4 Januari lalu, hati Nur Asyureen Tajaluddin, 27, mula berdebar-debar.

Apatah lagi, aktiviti tersebut tidak pernah dilakukannya sebelum ini memandangkan dia agak takut untuk melakukan sukan air lasak yang dianggapnya agak berbahaya.

Namun, bagi mencabar keupayaan diri, selain menguji tahap keberaniannya, dia menerima pelawaan untuk menyertai aktiviti tersebut bersama 20 peserta lain termasuk beberapa selebriti tempatan.

“Sebelum ini, saya hanya melihat orang melakukan aktiviti berakit redah jeram menerusi televisyen dan video di media sosial.

“Kalau diikutkan hati, memang saya tidak berani, apatah lagi tidak begitu pandai berenang. Jika dilihat kepada keadaan peserta di dalam rakit ketika meredah jeram, ia memang menakutkan.

“Tetapi selepas dicabar rakan-rakan, saya memberanikan diri untuk melakukannya. Selepas tamat berakit, saya mula rasa seronok dan tidak sangka aktiviti ini tidaklah berbahaya seperti yang disangka sebelum ini,” katanya.

Jelasnya, dia dapat rasakan dirinya sudah mula meminati aktiviti sukan air itu dan merancang untuk melakukannya lagi jika berpeluang pada masa akan datang.

Selain Nur Asyureen, Qi Razali yang merupakan seorang selebriti tanah air yang menyertai aktiviti sukan air itu turut teruja dengan cabaran yang telah dilaluinya.

Qi atau nama penuhnya Qushairi Razali berkata, laluan berakit sepanjang kira-kira 7 kilometer itu menjanjikan pengalaman yang sangat menyeronokkan, apatah lagi kala melalui kawasan lebih 30 jeram yang berbatu dan berarus deras.

Katanya, dia pernah melakukan aktiviti seperti itu sebelum ini, tetapi kali ini lebih mencabar.

“Arus jeramnya lebih deras dan menguji daya keberanian dan kemampuan peserta untuk bekerjasama ketika mengendalikan rakit agar tidak terbalik.

“Walaupun saya pernah alami fobia dalam aktiviti yang diadakan sebelum ini kerana rakit dinaiki terbalik, tetapi ia tidak pernah mematahkan semangat untuk terus melakukannya.

“Ini kerana, saya memang seorang yang sukakan aktiviti lasak dan gemar melakukan sesuatu yang baharu untuk membuktikan keupayaan diri,” katanya.

SEBAHAGIAN peserta yang menyertai aktiviti berakit meredah jeram di Kuala Kubu Bharu baru-baru ini.

Dia yang juga merupakan duta kepada jenama Teva turut menggalakkan orang ramai untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan pelbagai aktiviti luar mengikut keupayaan diri sendiri.

Sementara itu, jurulatih aktiviti berakit redah jeram tersebut, Abdullah Piee pula berkata, Sungai Selangor di Kuala Kubu Bharu sememangnya antara lokasi popular bagi aktiviti tersebut.

Katanya, keadaan sungai yang berjeram dan memiliki arus deras membolehkan peserta merasai cabaran meredah sungai dengan menaiki rakit melalui celahan batuan yang terdapat di sepanjang laluan.

“Walaupun aktiviti ini agak berbahaya, tetapi setiap peserta telah diberi penerangan awal mengenai teknik-teknik yang perlu dilakukan ketika berakit.

“Malah, mereka juga dikehendaki memakai jaket keselamatan, selain perlu mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan bagi mengurangkan risiko tercedera.

“Setiap rakit yang dinaiki peserta juga mempunyai seorang jurulatih berpengalaman bagi membantu mereka meredah arus sungai dengan selamat,” jelasnya yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam sukan air tersebut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pemasaran sebuah syarikat yang merupakan penganjur aktiviti lasak berkenaan, Eszeren Rizal Sabri berkata, aktiviti rakit redah jeram itu merupakan acara pembukaan yang dianjurkan pihaknya pada tahun 2022.

Jelasnya, pihaknya ingin memberi peluang kepada para peserta untuk merasai sendiri pengalaman menaiki rakit di kawasan jeram.

“Ia bagi menguji keberanian diri setiap individu yang menyertainya, selain memberi keyakinan bahawa tiada yang mustahil untuk dicapai dalam kehidupan.

“Ia juga sebagai salah satu cara untuk menghargai pelanggan yang selama ini telah menyokong kami,” jelasnya.

Tambah Eszeren lagi, pihaknya turut merancang untuk melaksanakan beberapa aktiviti lain sepanjang tahun ini.

Ini ujarnya, bagi memberi peluang kepada lebih ramai orang di luar sana agar dapat menjalankan aktiviti lasak di beberapa lokasi terpilih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI