SACRAMENTO, California – Seorang lelaki dari Baja, California meluahkan rasa kecewa apabila ditinggalkan kekasih selepas sebulan dia mendermakan buah pinggangnya kepada ibu wanita itu.
Uziel Martinez memuat naik beberapa siri video di laman TikTok yang menceritakan bagaimana dia dengan rela menawarkan diri untuk mendermakan buah pinggangnya kepada ibu teman wanitanya.
Menurut Martinez, dia menyangka pengorbanannya itu cukup untuk mengukuhkan hubungan mereka, namun ternyata ia tidak berlaku.
Lelaki itu ditinggalkan kekasihnya sebulan selepas pembedahan mendermakan ginjal dan wanita itu kini berkahwin dengan orang lain.
“Saya dermakan buah pinggang untuk ibunya dan dia tinggalkan saya lalu berkahwin dengan lelaki lain,” tulis Martinez.
Video tersebut diulang tonton hingga 14 juta kali dan rata-rata, netizen meluahkan rasa simpati atas apa yang berlaku pada Martinez.
Terharu dengan sokongan pengguna media sosial, Martinez berkata, dia sudah menerima hakikat kejadian dan tidak berdendam.
“Saya dan dia tidak bergaduh, namun dalam masa sama bukan lagi kawan. Kami sudah meneruskan kehidupan masing-masing.
“Video ini hanya sekadar luahan hati dan saya tidak menyangka ia akan tular begini,” jelasnya. – Agensi