LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji barisan pemainnya selepas berjaya menewaskan Brentford 3-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield malam kelmarin.
Meskipun terpaksa menunggu sehingga minit ke-44 untuk menjaringkan gol menerusi Fabinho, namun ia nyata membuka ruang buat The Reds meledak dua lagi gol hasil jaringan Alex Oxlade-Chamberlain dan Takumi Minamino.
Klopp berkata, anak-anak buahnya menunjukkan kesabaran tinggi sepanjang perlawanan memandangkan bukan mudah untuk beraksi menentang Brentford kerana mereka dianggap antara pasukan yang liat musim ini.
“Secara jujur, kami sentiasa berdepan kesukaran setiap kali bertemu Brentford kerana mereka menggunakan taktik berbeza-beza. Hari ini (kelmarin) kita saksikan banyak perebutan bola di udara dan mereka sangat bagus.
“Kadang-kadang set-pieces membawa tuah untuk kami menjaringkan gol dan hari ini (kelmarin) merupakan salah satu daripadanya. Selepas gol pembukaan, kami mencipta banyak peluang,” kata bekas jurulatih Borussia Dortmund itu.
Mengulas mengenai ketiadaan dua pemain utama, Mohamed Salah dan Sadio Mane yang berada di Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) beliau menjelaskan tidak panik kerana menganggap masih ada pemain boleh mengisi kekosongan itu.
“Ia adalah perkara biasa dan saya tahu kami akan kehilangan khidmat mereka buat seketika. Bagaimanapun, kemenangan ini membuktikan kami tetap tenang dan masih boleh beraksi dengan baik,” ujar Klopp. – AGENSI