SETIAP daripada kita mungkin pernah disakiti atau dizalimi oleh seseorang dan perasaan dendam pasti bersarang dalam dada dan dibawa hingga bertahun-tahun lamanya.
Jiwa tidak pernah tenang dan resah selagi apa yang kita rasa dan alami selama ini tidak menimpa individu tersebut sebagai balasan atas perbuatannya yang membuatkan hidup kita haru-biru.
Tahukah bahawa menyimpan dendam tidak akan membawa kita ke mana-mana, malahan mewujudkan benih-benih kebencian dan permusuhan yang tidak pernah padam.
Dalam hal ini, ketenangan yang dicari biar berjuta kali hati disakiti adalah dengan rendah jiwa cuba memaafkan semua orang yang pernah membuat hidup kita tak keruan.
Memang benar, bukan senang sebenarnya untuk memaafkan kesalahan seseorang, apatah lagi mereka yang sering membuat kita sakit dan terasa hati.
Ia tidak semudah mengungkapkannya di bibir. Bagaimanapun, ia perlu lahir dari lubuk hati yang ikhlas dan paling dalam.
Apabila kita dengan rela hati sudi memaafkan orang lain, ia bukan sahaja membuatkan hati si pesalah tadi berasa tenang, tetapi Allah akan menurunkan ketenangan yang tidak pernah diimpikan kepada kita.
Allah juga akan memuliakan mereka yang memaafkan orang lain kerana ia adalah satu tuntutan dalam Islam sebagai agama yang menganjurkan perdamaian dan kemaafan.
Dalam hal ini, Allah berfirman dalam surah al-A’raf yang bermaksud: “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta jangan mempedulikan orang-orang yang jahil”.
Banyak orang memberi alasan dengan berkata, agak sukar untuk kita melupakan suatu perkara, apatah lagi jika ia begitu pahit untuk dikenang dalam hidup ini.
Sesungguhnya berfikir sedemikian adalah fitrah kita sebagai manusia biasa dan perlu diingat, melupakan itu bukan kerja kita. Itu adalah kerja Allah dan Dia tidak meminta kita melupakan, tetapi memaafkan.
Ikutlah contoh terbaik yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW memaafkan semua perkara yang dilakukan penduduk musyrik kepada dirinya pada peristiwa pembukaan Kota Mekah.
Apa yang pasti, maruah seseorang tidak akan hilang, jadi hina atau jatuh harga diri seandainya bersedia untuk memaafkan orang lain.
Justeru, sebelum kita melelapkan mata untuk menunggu hari esok, berazamlah untuk memaafkan dan jangan terus berdendam. -K! ONLINE