fbpx

Ibu tunggal tabah urus dua anak OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORHASLINDA (dua dari kanan) semasa menziarahi Suriya di rumahnya di Taman Lekir Indah, Sitiawan kelmarin.

MANJUNG – Seorang wanita di Taman Lekir Indah, Sitiawan dekat sini terpaksa memikul tanggungjawab besar untuk mengurus keluarganya selepas kehilangan suami yang meninggal dunia akibat penyakit jantung bulan lalu.

Selain memikirkan soal mencari nafkah untuk keluarganya, wanita berkenaan, Suriya Abdullah, 45, juga perlu menjaga dua anaknya yang juga orang kelainan upaya (OKU) iaitu Mohamad Amri, 20, yang pekak dan Mohamad Solihin, 13, yang mengalami masalah fizikal.

Kata Suriya, disebabkan perlu menjaga dua anak OKU, dia tidak boleh keluar untuk bekerja, sekali gus memberi bebanan kepadanya dalam menyediakan perbelanjaan harian.

“Semasa suami ada, dia yang uruskan semuanya, manakala saya hanya menjadi suri rumah dan mengurus hal anak-anak.

“Mohamad Solihin ada menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi cukup untuk keperluan dirinya. Buat masa ini masih ada sedikit wang simpanan untuk sara keluarga,” ujar Suriya.

Dalam pada itu, nasib keluarga berkenaan mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Masyarakat Prihatin Perak (Ukhuwah) melalui Pengerusinya, Norhaslinda Zakaria yang mengunjungi mereka untuk menyampaikan sumbangan.

Norhaslinda berkata, kunjungan itu juga sebagai mengenang jasa Allahyarham Mohamad Azrul yang sangat aktif dalam kerja-kerja kebajikan komuniti semasa hayatnya.

“Pada ziarah kedua ini, kami turut membawakan sebuah kerusi roda dan kerusi mandi untuk kegunaan Mohamad Solihin hasil sumbangan beberapa orang dermawan,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh menghubungi pihak Ukhuwah menerusi talian 012-328 0430 untuk disampaikan kepada keluarga tersebut. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI