SEBERANG PERAI – Ibu bapa murid Sekolah Kebangsaan Assumption, Bagan Dalam, Butterworth di sini berusia hampir 90 tahun yang dijangka ditutup hujung bulan hadapan merayu penangguhan selama setahun.
Wakil ibu bapa murid, Che Su Tahar, 42, berkata, penangguhan itu akan memberi peluang kepada ibu bapa untuk membuat persediaan pertukaran sekolah anak-anak.
“Sejujurnya, kami sebagai ibu bapa amat sedih apabila mengetahui sekolah ini akan ditutup kerana lokasinya amat strategik dan persekitarannya amat berbeza.
“Justeru, diharapkan kalau dapat (penutupan) dilanjutkan setahun lagi pun jadilah, sebab kita senang untuk bersiap-sedia bagi menguruskan pertukaran sekolah anak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, bapa murid, Shahrizan Sickandar, 42, berkata, amat sayang sekali sekiranya sekolah yang memiliki nilai warisan bersejarah itu ditutup.- K! ONLINE