MELBOURNE – Bintang tenis Itali, Camila Giorgi bermula dengan langkah kanan apabila melepasi pusingan pertama Terbuka Australia dengan mengatasi pemain Rusia, Anastasia Potapova awal pagi semalam.
Giorgi dilihat tidak berdepan sebarang masalah untuk mara ke pusingan kedua selepas meraih kemenangan straight-set 6-4, 6-0 dalam tempoh satu jam 12 minit.
Turut mara ke pusingan kedua ialah Elina Svitolina selepas bijak mengawal tekanan ketika berdepan pemain Perancis, Fiona Ferro sebelum mencatat kemenangan 6-1, 7-6.
Juara Olimpik Tokyo 2020, Belinda Bencic berjaya mengatasi bekas pemain ranking 10 dunia, Kristina Mladenovic 6-4, 6-3 untuk melangkah ke pusingan kedua.
Pemain di ranking No. 8 dunia, Maria Sakkari pula terpaksa berhempas pulas sebelum mara ke pusingan kedua 6-4, 7-6 selepas diasak hebat pemain Jerman, Tatjana Maria.
“Saya sedikit tertekan untuk memulakan saingan pembukaan ini, tetapi ia adalah langkah terbaik untuk mara ke pusingan kedua.
“Saya akui sedikit pelik dengan gaya permainan saya tetapi akhirnya saya berjaya melepasinya pada set kedua permainan,” kata Sakkari.
Sementara itu, pemain ranking No.42 dunia, Yulia Putintseva pulang lebih awal selepas tewas mengejut kepada Harmony Tan dengan keputusan 6-4, 6-4. – AGENSI