SEGAMAT – Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas terpaksa membawa isterinya yang sedang sarat mengandung zuriat sulung lelaki meredah banjir untuk melahirkan anak di hospital baru-baru ini.
Nur Adesa Putra Biawardana Herman, 29, terpaksa membuat keputusan antara hidup dan mati membawa isterinya, Nurul Farhana Mohd. Nasir, 24, segera keluar dari kampung sebelum banjir melanda Kampung Jawa, Spang Loi, di sini.
Menurut Putra, isterinya yang menanti hari untuk bersalin mengadu rasa sakit pada bahagian perut pada hari kejadian.
“Isteri saya dijangka melahirkan anak sulung kami pada 14 Januari. Tetapi pada 3 Januari lalu dia mengadu sakit di perut.
“Pada waktu itu, saya bimbang kalau banjir semakin teruk, kami tidak dapat keluar dari kampung untuk ke hospital. Jadi saya segera hubungi pihak hospital untuk mengaturkan perjalanan keluar kami,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, dia yang tinggal di Taman Yayasan telah berada di Spang Loi untuk membantu ibunya mengemas rumah sebelum kediaman itu dinaiki air paras pinggang.
“Dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Padang Kiambang, saya dan isteri menaiki kereta ke tempat bot menunggu kami.
“Dengan menaiki bot tentera kami melintasi Kampung Spang Loi melalui Sungai Muar untuk menaiki trak.
“Perasaan saya cukup cemas kerana memikirkan keselamatan isteri dan anak. Dengan air banjir yang dalam dan deras saya tidak berhenti berdoa semoga perjalanan kami selamat,” kongsinya.
Nurul Farhana dibawa ke Hospital Segamat dan selamat melahirkan bayi dua hari selepas itu.
“Saya dan isteri sangat berterima kasih kepada pasukan keselamatan terutama pihak tentera, bomba dan pihak hospital yang memastikan perjalanan kami selamat,” tambahnya.