fbpx

‘Azhan pecah tulang belikat, retak 3 tulang rusuk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BETO harap peminat doakan yang baik-baik buat Azhan Rani.

PETALING JAYA – “Dia mengerang dengan kuat, sampai kita yang dengar rasa dia punya sakit.”

Itu antara perkongsian pelakon popular, Beto Kusyairy menceritakan keadaan kawan baiknya, juga pelakon Azhan Rani yang kemalangan jalan raya dan kini sedang mendapat rawatan di sebuah hospital di ibu negara.

Menurut Beto, Azhan yang berdepan detik cemas apabila motosikal kuasa besar yang ditunggangnya untuk ke sebuah lokasi penggambaran tengah hari semalam (Isnin) bertembung dengan sebuah lagi motosikal lain.

“Dia melambung dan kemudian terjatuh. Nasib baik tak kena bahagian kepala,” kata Beto yang menemani Azhan membuat rawatan sehingga dimasukkan ke wad semalam.

Dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Templer, Rawang tersebut, Azhan mengalami pecah tulang belikat kiri, retak tulang bahu dan tiga tulang rusuk, selain kecederaan kecil.

“Buat masa ini doktor masih menunggu keputusan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) bagi mengenal pasti jika ada kecederaan dalaman yang lain. Alhamdulillah, selepas dimasukkan ke wad, keadaan Azhan sebenarnya stabil dan dia boleh bercakap,” kata Beto.

Bintang KL Gangster Underground itu berkata, disebabkan kecederaan yang dialami, Azhan harus menunggu sedikit masa untuk kembali pulih seperti biasa.

“Sekarang nak tengok keadaan dulu, sama ada perlukan pembedahan untuk tulang belikat atau biarkan bahagian yang pecah itu pulih secara alami, tetapi mungkin ambil masa lama, kita doakan yang terbaik,” jelas Beto kepada Kosmo! Online.

Terdahulu, Beto menerusi satu hantaran muat naik dalam Instagram miliknya berkongsi perkhabaran tentang kemalangan melibatkan Azhan.

“Amanah daripada sahabatku Azhan Rani. Dukacita ingin menyampaikan kepada semua bahawa Azhan telah terlibat dengan kemalangan motosikal pada tengahari semalam (Isnin).

“Alhamdulillah keadannya stabil dan masih dalam jagaan pakar (doktor),” tulis Beto.

Menerusi hantaran sama, Beto turut berkongsi sekeping foto menunjukkan Azhan, 46, memakai baju pesakit hospital dalam keadaan tangannya mengalami kecederaan.

“Hantaran ini menjawab segala panggilan dan mesej kepada Azhan. Ya, Azhan terlibat dengan kemalangan dan menjadi penyebab dia tidak menjawab panggilan telefon serta membalas mesej.

“Dia mahu memastikan keadaannya stabil dan melakukan rawatan selanjutnya,” kata Beto.

Beto turut mewakili rakan baiknya itu memohon maaf kepada kenalan dan para wartawan yang cuba menghubungi Azhan kerana pelakon itu tidak dapat memberikan sebarang kenyataan buat sementara waktu.

“Kepada semua sahabat, kenalan dan wartawan yang cuba menghubunginya secara peribadi, Azhan memohon maaf kerana tidak dapat menjawab segala panggilan.

“Namun dia tetap menghargai segala perasaan ambil berat ke atas dirinya. Sama-sama kita doakan agar dia segera sembuh dan kembali pulih seperti sediakala,” tulis Beto.

Perkongsian Beto turut menarik perhatian beberapa kenalan artis apabila turut sama-sama mendoakan Azhan supaya diberikan kesembuhan segera. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI