PUTRAJAYA – Pelaksanaan vaksinasi secara ‘walk in’ bagi dos penggalak akan dilaksanakan setiap hari kecuali cuti umum di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Lembah Klang, bermula Rabu ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan menyebut, warga emas yang ingin hadir secara ‘walk in’perlu mempunyai sijil vaksinasi digital yang lengkap di dalam aplikasi MySejahtera bagi melancarkan proses vaksinasi dos penggalak.
Katanya, empat PPV itu adalah PPV World Trade Centre, Kuala Lumpur; PPV Axiata Arena, Bukit Jalil; PPV Ideal Convention Centre, Shah Alam yang semuanya beroperasi dari pukul 2 petang hingga 8 malam manakala Soka Gakkai, Klang pula, 12 tengah hari hingga 4 petang.
“Bagi PPV Offsite di Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak akan turut melaksanakan perkhidmatan vaksinasi secara ‘walk in’ kepada warga emas mulai 24 Januari ini.
“Senarai lengkap PPV Offsite yang terlibat akan akan diumumkan oleh pihak ProtectHealth Corporation tidak lama lagi,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu menyebut, buat masa ini temujanji di PPV Integrasi di Lembah Klang diberikan kepada individu yang telah menerima dos lengkap AstraZeneca atau Sinovac untuk diberikan dos penggalak vaksin AstraZeneca.
Bermula Rabu ini, vaksin Pfizer juga akan dibekalkan di semua PPV terlibat khususnya bagi individu tertentu seperti ibu hamil yang telah menerima temujanji atau individu yang mempunyai kontraindikasi terhadap vaksin AstraZeneca.
“Sehingga semalam,liputan vaksinasi dos penggalak bagi warga emas berumur 60 tahun dan ke atas di negeri Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak telah mencapai lebih 70 peratus.
“Ini susulan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas yang telah menerima dos lengkap selepas tempoh tiga bulan daripada dos terakhir adalah layak untuk menerima dos penggalak,” katanya.
Kenyataan itu turut menjelaskan, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan – Booster (PICK-B) telah bermula pada 13 Oktober lalu sebagai satu daripada langkah mengawal pandemik Covid-19.
“Malah sehingga semalam, sebanyak 9,364,326 atau 40.0 peratus populasi Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas telah menerima dos penggalak.
“Bagi mempertingkatkan lagi kapasiti pemberian vaksin di Lembah Klang, empat PPV integrasi telah dibuka bermula 15 Januari lalu iaitu World Trade Centre, Kuala Lumpur; Axiata Arena, Bukit Jalil; Ideal Convention Centre, Shah Alam; dan Dewan Soka Gakkai, Klang,” katanya.-K! ONLINE.