fbpx

Tsunami landa Jepun, kerajaan arah lebih 200,000 orang pindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rakaman dari udara menunjukkan bot yang terbalik dan sebahagiannya tenggelam di pelabuhan Muroto di Kochi, barat Jepun, selepas pantai Pasifik negara itu dilanda tsunami. - Kyodo

TOKYO – Ombak tsunami setinggi satu meter dilaporkan melanda beberapa kawasan pantai di Jepun semalam susulan letusan amat kuat gunung berapi dasar laut di Tonga, lapor agensi berita Kyodo News.

Meskipun ombak itu tidak mengakibatkan kerosakan besar, kerajaan Jepun telah mengeluarkan arahan berpindah kepada hampir 230,000 penduduk sebagai langkah berjaga-jaga.

Agensi kaji cuaca Jepun mengeluarkan amaran tsunami tengah malam kelmarin untuk penduduk tepi pantai dari kawasan di Hokkaido hingga ke Okinawa sebelum ditarik balik 14 jam kemudian.

Menurut kenyataan agensi berkenaan, paras air laut  akan naik dan turun buat sementara waktu,  namun fenomena itu tidak mendatangkan risiko bencana.

Bagaimanapun, agensi tersebut meminta agar semua aktiviti di pantai seperti berenang dan memancing dihentikan untuk seketika.

Tsunami tersebut turut menyebabkan sebilangan bot nelayan terbalik dan menyebabkan kelewatan atau pembatalan pengangkutan awam.

Setakat semalam,  seramai 229,000 penduduk di lapan wilayah termasuk Aomori, Iwate, Miyagi, Chiba, Tokushima, Kochi, Miyazaki dan Kagoshima diminta menjauhkan diri dari kawasan pantai.

Ombak setinggi 1.2 meter dikesan di Pulau Amami, barat daya Jepun sejurus sebelum tengah malam kelmarin, manakala ombak 1.1 meter tiba di wilayah Iwate tidak lama kemudian.

“Kami berpindah sebagai langkah berjaga-jaga.. Ini mengingatkan kami tentang gempa bumi pada 2011,” kata Jiro Saito, 79 tahun, yang berlindung di kuil berdekatan bersama isterinya.

Perkhidmatan pengangkutan kereta api, udara dan maritim juga terjejas dengan 27 penerbangan domestik Japan Airlines termasuk keluar masuk Amami dibatalkan.

Kebimbangan mengenai tsunami merentasi Pasifik selepas beberapa siri letusan gunung berapi besar-besaran bermula pada petang Sabtu lalu di Kepulauan Tonga.

Memandangkan komunikasi dengan negara kepulauan Pasifik Selatan kekal terputus, negara-negara jiran masih berusaha untuk mengenal pasti tahap kerosakan atau kemalangan jiwa di lokasi kejadian. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI