SHAH ALAM – Tindakan seorang penganggur bertindak kejam memenggal kepala ibunya sendiri adalah disebabkan tidak dapat mendapat wang bagi membeli dadah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, punca kejadian itu diperolehi hasil siasatan terhadap suspek yang kini direman selama tujuh hari hingga 22 Januari hadapan.
Katanya, suspek juga dipercayai berada dalam pengaruh dadah.
“Motif kejadian adalah suspek meminta duit bagi membeli dadah.
“Ketika kejadian hanya suspek dan ibunya sahaja di rumahnya itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Beliau turut menjelaskan suspek sebelum ini yang dikenakan hukuman kerana ugutan terhadap ibunya mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan pada 2014 juga disebabkan kerana beli dadah.
Kosmo! terdahulu melaporkan seorang wanita maut dalam keadaan menyayat hati apabila dipenggal anak lelakinya sendiri di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang di sini, petang semalam.
Lebih memilukan, kepala mangsa berusia 56 tahun itu ditemukan dalam rumah berkenaan selepas dipenggal suspek dengan parang. -K! ONLINE