fbpx

Scha Alyahya nak ‘pulun’ berlakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SCHA ALYAHYA

“DAHULU ada juga abang Osman Ali panggil untuk filem Cun dan beberapa projek drama lain, namun tidak kesampaian.”

Itu pengakuan pelakon dan pengacara jelita, Scha Alyahya atau nama sebenarnya, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya yang akhirnya berjaya masuk senarai untuk bekerja bawah telunjuk antara sutradara paling ‘dikehendaki’ di Malaysia menerusi naskhah Telaga Suriram.

Bayangkan jika Scha antara yang terselit antara Remy Ishak dan Maya Karin, pasti impaknya berbeza.

TIDAK mengharapkan trofi terbaik, namun atas inisiatif mahu melakukan yang terbaik dan tidak mahu mempamerkan kecacatan, scha berusaha mengambil kelas lakonan peribadi dengan Norzizi Zulkifli bagi memantapkan tahap persembahannya.
– INSTAGRAM SCHA ALYAHYA

Cabaran

Lama pelakon berusia 38 itu menyimpan impian untuk bekerja bawah arahan Osman Ali, namun setiap kali diberi tawaran, ada sahaja perkara yang menjadi penghalang.

“Sebelum ini, ada tawaran (daripada abang Osman) cuma tiada rezeki untuk saya kerjakan,” kata ibu kepada dua orang cahaya mata itu.

Bergandingan bersama pelakon ‘papan atas’ iaitu Maya Karin, Farid Kamil dan Nabila Huda dalam filem Telaga Suriram, Scha tidak menafikan perkara tersebut menjadi satu cabaran buat dirinya.

“Saya tak nafikan kepercayaan ini menjadi satu cabaran kerana ketiga-tiga mereka merupakan pelakon berkelas award-winning.

“Disebabkan itu, saya mempersiapkan diri sehabis baik dengan mengambil kelas lakonan bersama Norzizi Zulkifli.

“Untuk Telaga Suriram, produksi memang dah ada guru lakonan, Ellie Suriaty tetapi saya fikir, perlu ada usaha daripada saya sendiri kerana rata-rata yang berlakon dalam naskhah ini bukan calang-calang orang,” katanya.

SCHA ALYAHYA mengganggap fokus yang mahu diberikan terhadap lakonan tahun ini sebagai satu pengorbanan dan permulaan yang baik. – FARID RUSADIO

Gerun dengan Ellie, kelas luar

Melanjutkan bicara, Scha tidak menafikan dihuni sedikit gentar saat berada bawah pengawasan Ellie Suriaty yang ditugaskan sebagai acting coach (guru lakonan) filem terbabit.

“Dengan Kak Ellie, saya tak nafikan saya akan takut dengan dia. Saya takut disebabkan perasaan sebegitu, akan ada limitasi untuk belajar dengan dia sebab terlalu takut,” ujarnya.

Katanya, mengambil kelas lakonan bawah Zizi merupakan jalan terbaik untuk sekurang-kurangnya, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan tiga pelakon utama lain.

“Saya memilih Kak Zizi sebab pertama sekali, latar belakang dia.

“Selain itu, tak tahulah, saya rasa sangat dekat dengan dia. Karakter dia lebih kurang macam saya.

“Dia seseorang yang relaks, rough dan tough dan saya rasa senang untuk saya belajar dengannya tanpa perlu rasa macam, ‘takutnya cikgu ini’,” katanya lagi.

Scha pada mulanya, ada memikirkan beberapa nama guru lakonan lain seperti Vanidah Imran dan Ogy Ahmad Daud, namun nama-nama yang disebutkan mempunyai jadual kerja yang sangat padat.

“Kak Vanidah yang sarankan Kak Zizi kepada saya. Kak Ogy pula, sebelum tanya dia, saya rasa dia dah di tempat lain dah,” ujarnya.

BERADA dalam kalangan pelakon-pelakon ‘papan atas’ bawah arahan Osman Ali yang karyanya selalu ditunggu-tunggu menjadi cabaran besar buat Scha Alyahya apabila menyahut tawaran watak dalam filem Telaga Suriram.

Fokus lakonan

Bercakap tentang fokus bagi tahun 2022 yang dilihat seperti ingin dihalakan ke arah lakonan berbanding tahun-tahun terdahulu, Scha mengiyakan perkara tersebut.

Dia ingin mencabar kemampuan untuk melibatkan diri dengan projek-projek lakonan, sama ada format layar perak, pentas teater atau naskhah televisyen.

“Ini matlamat saya untuk tahun 2022. Saya nak cabar diri, nak berlakon teater dan sebagainya.

“Dapat terlibat dalam naskhah begini (Telaga Suriram), saya nak buktikan dan buat yang terbaik. Dan, siapa je tak mahu kerja bawah Osman Ali?

“Tapi tiadalah sampai saya berlakon terus nak harapkan trofi pelakon wanita terbaik.

“Dah kebetulan tahun baharu saya bermula dengan projek ini, saya nak buat bagus-bagus. Tak nak nampak cacat,” tuturnya.

Ditebak bagaimana kelak untuk dia membahagikan masa antara kerjaya, seni lakonan yang semakin rancak bermula, dunia peragaan dan sebagainya, kata Scha, kadang-kadang hatinya merasa berbolak-balik ketika hendak melakukan semua perkara tersebut.

“Kadang-kadang rasa ‘betul ke apa yang saya buat ini?’. Pergi sana sini jauh-jauh dan penggambaran filem ini agak lama, sekitar lebih 40 hari.

“Saya cakap dengan suami (Awal Ashaari) sampai saya menangis tapi nasib baik dia faham. Benda ini (berlakon filem) dah lama tak buat.

“Sebelum ini hal-hal sekolah anak-anak, semua saya yang uruskan. Awal tak berapa tahu sangat sistem sekolah, saya yang tahu banyak.

“Entahlah, saya sifatkan apa yang saya lakukan awal tahun 2022 ini sebagai satu pengorbanan dan permulaan tahun yang baik.

“Tahun 2022 akan lebih banyak projek lakonan.

“Kerja-kerja lain tetap buat tapi inilah saya, suka buat benda lain-lain dan seimbangkan dengan keperluan,” ujarnya menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI