KUALA SELANGOR – Seorang lelaki memberitahu yang dia terkejut apabila didatangi anak jirannya dalam keadaan tergesa-gesa yang meminta bantuan dan memaklumkan rumahnya sudah dipenuhi dengan darah darah.
Ghazali Atan, 64, berkata, ketika itu dia sedang menganyam daun pelepah nipah sebelum terkejut apabila didatangi wanita itu pada pukul 5 petang.
Katanya, jarak rumahnya dengan kediaman mangsa hanya 40 meter.
“Ketika itu, dia meminta pertolongan dan memberitahu bahawa ibunya (mangsa) sudah keluar darah.
“Saya kemudian pergi melihat keadaan dan melihat rumah berkenaan dipenuhi darah, namun tidak berani memasukinya,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Pasir Penambang di sini semalam.
Tambahnya, keluarga mereka telah saling mengenali sejak 20 tahun lalu walaupun hanya duduk berjiran kira-kira tiga bulan lepas.
“Ketika kejadian, hanya mangsa dan suspek berada di dalam rumah, manakala suaminya sudah keluar.
“Saya tidak pula mendengar sebarang bunyi bising atau jeritan dari rumah itu,” katanya.
Ujar Ghazali, dia tidak turut serta menangkap suspek yang sedang bersembunyi di dalam belukar ketika itu kerana sakit kaki dan hanya melihat polis menjalankan operasi tersebut.
Kosmo! melaporkan, tanda tanya seorang anak mengenai ibunya yang gagal dihubungi terjawab apabila menemui mayat wanita itu dalam keadaan mengerikan dengan kepalanya dipenggal di Kampung Baru Pasir Penambang di sini kelmarin.
Mayat mangsa berusia 56 tahun tersebut ditemui berlumuran darah di ruang tamu pada pukul 5.45 petang. Suspek merupakan anak lelaki wanita itu.
Siasatan mendapati suspek berusia 28 tahun tersebut merupakan seorang penagih dadah apabila ujian air kencing mendapati dia positif syabu.
Difahamkan, lelaki bujang itu merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik dan pernah dipenjarakan kerana melakukan ugutan terhadap mangsa pada 2014. Suspek terlibat dengan dadah sejak empat tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian itu disedari anak perempuan mangsa berusia dalam lingkungan 30-an yang curiga selepas gagal menghubungi ibunya sebelum pergi ke rumah wanita itu. -K! ONLINE