DUNGUN – Dua penternak lembu berputih mata apabila mengalami kerugian hampir RM30,000 selepas tujuh ekor lembu peliharaan mereka hilang disyaki dicuri di Kampung Paya Hutan, Paka di sini kelmarin.
Seorang penternak, Romi Daud, 48, berkata, dia kehilangan lima ekor lembu, manakala dua ekor lembu milik rakannya, Mohd. Nasarul Naim Mohd. Nasir, 41, turut dicuri pada hari sama.
Romi berkata, dia menyedari lima ekor lembu ternakannya hilang sewaktu memeriksa kandang ternakannya pada pukul 7 pagi.
“Saya keluar dari rumah yang tidak jauh dari kandang lembu selepas selesai menunaikan solat subuh. Sebaik sampai, saya mendapati haiwan ternakan hanya tinggal tiga ekor.
“Puas saya saya mencari seekor lembu jantan dan empat betina yang berusia dalam lingkungan tiga tahun di kawasan sekitar tetapi tidak jumpa,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Paya Hutan, Paka di sini semalam.
Romi berkata, dia mengesyaki lembu-lembunya telah dicuri sebelum memaklumkan kejadian itu kepada jirannya, Mohd. Nasarul Naim.
Sementara itu, Mohd. Nasarul Naim memberitahu, pemeriksaan kemudian mendapati dua ekor lembu miliknya yang ditambat pada tiang di hadapan rumah juga turut hilang.
“Saya memang biasa ikat lembu-lembu itu selepas memberi makan pada setiap petang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kecurian lembu berkenaan.
Beliau berkata, siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu curi.
“Orang ramai diminta menghubungi polis sekiranya terjumpa atau mengenali pihak yang menjual lembu pada harga murah kerana kemungkinan ia hasil curi,” katanya. -K! ONLINE