SHAH ALAM – Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) akan berusaha melaksanakan saranan pendamaian dari Mahkamah Tinggi di sini secepat mungkin.
Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, saranan itu berhubung insiden ‘hukuman masjid untuk mandi jenazah’ serta rakaman dan tularan rakaman kejadian tersebut.
“Ini melibatkan pihak Imam dan Ahli Jawatankuasa Masjid, individu yang merakam, individu yang membuat tularan rakaman serta kesemua ahli keluarga Daniel Iskandar.
“PPMM sebagai pengantara proses saranan tersebut akan cuba menyelesaikan perkara tersebut dengan cara baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada prosiding semakan kehakiman, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd. Halim Aman mengetepikan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM4,000 kepada Daniel Iskandar,19 dan digantikan dengan kerja khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan.
Abd. Halim turut membuat saranan agar pihak masjid dan mereka yang merakam dan menular insiden tersebut membuat permohonan maaf kepada Daniel dan masyarakat secara umumnya.
Jelas Zainul, PPMM yang dijadikan sebagai Sahabat Mahkamah dalam prosiding itu akan membantu setakat mana yang mampu dan seterusnya memajukan laporan lengkap yang berkaitan perkara itu (saranan) kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam, kelak.
Sementara itu, peguam PPMM, Muhammad Hariz Md. Yusoff ketika dihubungi memaklumkan jangkaan saranan itu akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan.
“Namun tertakluk kepada arahan PPMM berkenaan tindakan pengantara tersebut,” jelasnya.
Terdahulu, PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co. telah memohon untuk mengundurkan diri daripada mewakili Daniel Iskandar untuk mengelakkan tindanan perwakilan guaman.
Mahkamah Tinggi Shah Alam bagaimanapun telah mengekalkan kehadiran PPMM melalui Peguamcaranya itu (Muhammad Hariz) sebagai Sahabat Mahkamah (Amicus Curiae) untuk membantu mahkamah dalam prosiding berkaitan.
Dalam pada itu, Peguam Pemerhati Masjid Al Islahiah, Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie ketika prosiding itu memaklumkan sebagai institut masjid sentiasa membantu golongan kurang bernasib baik termasuk memberikan ‘foodbank’ kepada kawasan sekitar.
“Ini juga termasuk kepada keluarga pesalah muda itu (Daniel). Saya juga sebak melihat dua beranak (ibu remaja itu dan Daniel) di mahkamah ini,” jelasnya. -K! ONLINE