fbpx

Penggal kepala: “Saya maafkannya. Dia tetap darah daging saya”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli keluarga dan penduduk kampung menunggu jenazah Allahyarham di Surau An-Nur Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor, hari ini.

KUALA SELANGOR – “Saya maafkannya dan berharap dia insaf. Dia (suspek) tetap anak dan darah daging saya”.

Demikian kata-kata pilu suami kepada seorang wanita yang maut dipenggal anak lelakinya sendiri di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang di sini, kelmarin.

Menurutnya yang berusia 61 tahun, ketika kejadian dia sedang menjual udang di sekitar Kampung Bukit Belimbing, kira-kira pukul 5 petang.

“Saya kemudian didatangi penduduk kampung yang memaklumkan kejadian itu lalu segera pulang ke rumah.

“Sejurus tiba, remuk hati saya melihat kawasan kediaman sudah dipenuhi orang ramai dan arwah isteri sudah pergi buat selama-lamanya,” katanya sebak ketika ditemui di Surau An-Nur kampung itu petang tadi.

Jelas bapa kepada tujuh anak itu, dia sekeluarga sememangnya masih terkejut dengan apa yang berlaku.

“Biarpun tersentak dengan perbuatan anak lelaki (suspek), saya halalkan dan memaafkan dia.

“Saya masih terkejut dan mungkin ada kesilapan dia yang kita tidak ketahui,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, arwah isterinya sempat berpesan supaya segera menguruskan urusan pengebumian sekiranya meninggal dunia pada empat bulan lalu.

“Arwah sememangnya seorang yang peramah, rajin beribadah dan tidak pernah memukul anak.

“Pemergiannya dianggap satu kehilangan besar buat keluarga dan kami redha dengan ketentuan Allah,” katanya.

Tambah beliau, dia turut memohon semua pihak tidak menyebarkan gambar yang tular bagi menjaga aib keluarga.

Jenazah Allahyarham ketika ini masih di Hospital Buloh dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang selepas solat Asar ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI