KUALA LUMPUR – Penangguhan peralihan fasa endemik hanya bersifat sementara sehingga tempoh dua hingga tiga minggu lagi.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penangguhan dibuat mengambil kira musibah banjir yang melanda negara baru-baru ini dan jumlah peningkatan kes varian Omicron Covid-19 yang masih tinggi pada ketika ini.
“Dari segi peralihan fasa ke endemik penangguhan sementara sahaja. Bukan lama penangguhan tersebut, mungkin hanya dua hingga tiga minggu ini sahaja.
“Kita tangguh kerana saya ingin menerima laporan kesan daripada banjir dan varian Omicron termasuk kesan daripada pengembara yang pulang dari Arab Saudi.
“Dalam seminggu lagi, saya akan menerima taklimat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Luar Negeri untuk kita bentang ke Jawatankuasa Khas Covid-19 yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Perdana Menteri akan membuat keputusan serta mengumumkan bila tarikh sebenarnya, untuk kita mula beralih ke fasa endemik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini hari ini.
Tambahnya, peralihan fasa endemik perlu mendapat penelitian yang mendalam dengan mengambil kira tiga perkara penting yang perlu dipatuhi oleh masyarakat.
“Paling penting peralihan kita ini tidak boleh dilakukan secara semborono. Tiga perkara penting perlu dipatuhi oleh orang ramai ialah pematuhan prosuder operasi standard (SOP), menjalani ujian melalui Self-Test Kit dan pergerakan keluar masuk pengembara di pintu sempadan negara.
“Tetapi penangguhan ini hanya sementara. Kita sudah bersedia beralih secara transisi ke endemik di mana Perdana Menteri akan membuat keputusan tarikh peralihan selaku Pengerusi dalam Jawatankuasa Khas Covid-19,” ujarnya. – K! ONLINE