fbpx

Pembangunan bola sepak bermula di peringkat akar umbi – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) diiringi Hamidin (kanan) melakukan gimik majlis pecah tanah Ibu Pejabat FAM di Presint 5, Putrajaya hari ini. - FOTO: FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa pembangunan pemain bola sepak tidak hanya bergantung kepada infrastruktur yang canggih dan moden semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau, bola sepak negara hanya akan maju apabila melibatkan pembangunan pemain yang sistematik dan bermula dari peringkat akar umbi, seterusnya menggilap bakat mereka sehingga menjadi aset terbaik negara.

“Pembangunan akar umbi yang mantap dan berkesan memerlukan semangat profesionalisme yang tinggi.

“Sikap profesional menuntut sesebuah organisasi dan juga individu untuk membuat perancangan yang rapi. Gagal untuk merancang adalah merancang untuk gagal,” katanya ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Presint 5 di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, seorang pemain bola sepak yang berbakat perlu dibimbing oleh jurulatih terbaik dari usia muda, manakala jurulatih pula harus mendapat tunjuk ajar daripada instruktur atau jurulatih pakar.

Menurutnya, dengan kemahiran teknikal yang dimiliki hasil daripada bimbingan jurulatih yang hebat, ia sekali gus meningkatkan kebolehpasaran pemain bukan sahaja di liga tempatan malah ke peringkat antarabangsa.

“Contohnya pasukan Chelsea atau The Blues yang berpangkalan di Stamford Bridge, England. Ekosistem pasukan Liga Perdana Inggeris ini cukup lengkap.

“Akademi mereka mengendalikan pasukan yang dianggotai pemain semuda 9 hingga 23 tahun satu ekosistem yang menuntut pembabitan jurulatih, pengurusan kelab dan sokongan ibu bapa,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kelab-kelab bola sepak tempatan harus mencontohi Chelsea yang pada masa sama turut membangunkan daya kebolehpasaran serta kualiti pemain mereka.

Turut menggunakan Vietnam sebagai contoh, katanya, pada 2006, pasukan itu menduduki ranking 172 dan kini mereka menjadi satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang berjaya mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022.

“Apa yang membezakan Malaysia dan Vietnam? Jawapannya adalah pembangunan bola sepak di peringkat awal.

“Kunci kepada peningkatan prestasi pasukan Vietnam ialah Akademi Hoang Anh Gia Lai yang menjalinkan kerjasama dengan pasukan Arsenal, sekolah bola sepak Perancis JMG Academy dan sokongan konglomerat Vietnam,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tapak ibu pejabat ketiga FAM seluas 2.4 hektar itu akan dijadikan sebagai Pusat Latihan Kebangsaan FAM serta pelbagai fasiliti yang mampu menampung program bola sepak di peringkat akar umbi sehingga kebangsaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut menyumbang RM10 juta tahun ini kepada FAM bagi pembangunan bola sepak negara. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI