fbpx

Pelupusan 16,000 ekor babi akibat ASF dijangka selesai minggu hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Norlizan ketika bercakap pada sidang akhbar webinar pelaksanaan penguatkuasaan aktiviti melibatkan haiwan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 di Wisma Tani, hari ini.-Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Pelupusan sebanyak 16,000 ekor babi dijangka selesai menjelang minggu hadapan dalam usaha untuk mengekang penularan Demam babi Afrika atau African Swine Flu (ASF) di Paya Mengkuang, Melaka.

Ketua Pengarah Veterinar, Datuk Dr. Norlizan Mohd. Noor berkata, setakat semalam, sebanyak 35 kandang babi telah diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 19 kandang babi didapati telah dijangkiti ASF.

“Kesemua 19 kandang tersebut memiliki kira-kira 16,000 ekor babi dan setakat ini sebanyak 13,000 ekor babi telah dimusnahkan menggunakan kaedah karbon dioksida bekepekatan tinggi (high concentration co2).

“Kaedah pelupusan ini mengguna pakai kod Amalan Kebajikan Haiwan untuk tujuan pemusnahan haiwan ternakan yang mana cara lainnya adalah ditembak namun kita gunakan ‘high concentration co2’ untuk mematikan sebelum ditanam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar webinar pelaksanaan penguatkuasaan aktiviti melibatkan haiwan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 di Wisma Tani di sini hari ini.

Menurut Dr. Norlizan, dalam usaha mengekang penularan virus berkenaan yang amat mudah merebak, pihaknya terpaksa melupuskan bilangan babi yang banyak memandangkan setiap babi yang berada di ladang yang dikesan telah dijangkiti terpaksa dimusnahkan.

“Virus ini sangat mudah merebak antaranya menerusi sentuhan, cecair badan seperti darah atau hingus babi, kutu babi serta pembawaan daripada kenderaan atau pakaian orang perseorangan yang keluar masuk ladang.

“Susulan itu, pihak terlibat dinasihati untuk meningkatkan tahap biosekuriti mereka termasuklah mengawal selia setiap pergerakan keluar masuk ladang malah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) turut mengetatkan permit pemindahan dan produk babi di antara ladang-ladang di Paya Mengkuang,” ujar beliau.

Bagaimanapun, Dr. Norlizan menegaskan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang memandangkan ASF tidak akan menjangkiti manusia sebaliknya hanya spesifik kepada babi sahaja serta penghapusan babi yang banyak itu tidak akan memberi kesan kepada bekalan keperluan babi.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI