fbpx

Pegawai Perhilitan sujud syukur bebas tuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abu Zahrim melakukan sujud syukur di luar Mahkamah Rayuan di sini hari ini selepas dilepas dan dibebaskan sabitan dan hukuman atas pertuduhan membuat tuntutan palsu sembilan tahun lalu.

PUTRAJAYA – Seorang pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang membuat sujud syukur selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada hukuman penjara empat tahun dan denda RM117,000 atas pertuduhan membuat tuntutan palsu sembilan tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersama-sama Datuk Supang Lian dan Datuk Seri Mariana Yahya yang membenarkan rayuan akhir Abu Zahrim Ismail, 48, selaku perayu.

Dalam penghakimannya, panel itu berpendapat rayuan yang dikemukakan perayu mempunyai merit selain berpuas hati bahawa Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam membuat keputusan apabila mensabitkan hukuman itu terhadap perayu.

“Rayuan Abu Zahrim mempunyai merit atas alasan faktor gratification (kepuasan) bukan suatu elemen yang terkandung dalam pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” kata hakim Vazeer Alam.

Panel tersebut turut berpuas hati bahawa Mahkamah Sesyen terkhilaf ketika mengguna pakai andaian di bawah Seksyen 50 Akta SPRM dan kesilapan itu memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.

Selain itu, keperluan agar perayu menjelaskan pertuduhan yang dihadapinya, adalah di luar peruntukan undang-undang kerana perayu hanya dikehendaki untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

Dengan keputusan sebulat suara hari ini, panel menolak penghujahan pendakwaan agar tertuduh dibicara semula kerana perintah itu hanya akan menyebabkan ketidakadilan dan memprejudiskan perayu.

Mengikut pertuduhan, Abu Zahrim yang juga Pegawai Hidupan Liar di Pejabat Penguasa Taman Negara Pahang dengan niat untuk memperdaya Ketua Pengarah Perhilitan menerusi satu dokumen Pesanan Kerajaan yang mengandungi butiran tuntutan palsu membabitkan pembekalan 28 unit beg sandang bersaiz 75 liter jenama Deuter dan 60 unit drypack 30 liter.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Penguasa Taman Negara, Jerantut pada November 2013 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Dalam prosiding hari ini diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke.

Pada ada 27 Ogos, 2018, Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan Dazuki Ali turut menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM117,000 terhadap Abu Zahrim selepas didapati bersalah atas pertuduhan membuat tuntutan palsu pada November 2013.

Kemudian pada 10 Mei 2019, Mahkamah Tinggi Kuantan turut mengekalkan hukuman sama. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI