PUTRAJAYA – Dua aplikasi perdagangan secara elektronik yang terbaharu dan sepenuhnya buatan tempatan dijangka pada tahun ini mampu mencecah nilai jualan RM100 juta sebulan.
Unjuran itu juga berdasarkan penilaian Institut Automotif, Robotik dan Internet Benda Malaysia (MARii) dengan melihat pengalaman ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Malah keyakinan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari dan dalam nada optimis berkata, trend ini bakal memberikan manfaat besar kepada usahawan tempatan.
“Kita sasar dalam tempoh tiga bulan nanti sekurang-kurangnya 10,000 syarikat akan berdaftar dalam dua platform e-dagang baharu ini dengan jualannya RM100 juta setiap bulan,” katanya hari ini.
Beliau berkata pada sidang akhbar selepas pemeteraian memorandum persefahaman antara MARii dan PH Empire Holding Berhad (PHEB) bagi pembangunan wadah e-dagang, Shopker.
Terdahulu, beliau ketika berucap mengumumkan Inisiatif E-Dagang Disatukan MARii dengan penggunaan sistem Perkhidmatan Sesawang Awan MARii (Macwes) yang dimajukan agensi itu.
Ia bakal dijadikan wadah untuk dua aplikasi e-dagang tempatan yang akan beroperasi dalam masa terdekat iaitu MARii E-Commerce Marketplace dan Shopker dikendalikan oleh PHEB.
Mengulas lanjut, Madani berkata, inisiatif itu amat penting kerana selama ini semua laman e-dagang yang ada di Malaysia sebenarnya berpangkalan dan beroperasi terus dari luar negara.
“Keadaan itu amat berisiko tinggi kerana segala data transaksi niaga dan maklumat peribadi pelanggan Malaysia disimpan di luar negara serta boleh dieksploitasi pihak tertentu,” katanya. – K! ONLINE