AKTRES komedi Tiffany Haddish ditahan polis kerana memandu kereta dalam keadaan mabuk baru-baru ini.
E! News melaporkan, bintang Girls Trip itu dipercayai tertidur ketika memandu kenderaan miliknya sekitar pukul 2.30 pagi.
Jabatan Polis Peachtree, Georgia, Amerika Syarikat mengesahkan, pelawak itu ditahan selepas pihaknya menerima panggilan berhubung cara pemanduan berbahaya wanita itu.
Pelawak berusia 42 tahun itu kemudian dihantar ke Penjara Fayette County sebelum dibebaskan dengan ikat jamin pada pukul 6.30 pagi, hari yang sama.
Sementara itu, pelakon itu masih mendiamkan diri dan tidak mengeluarkan sebarang komen berhubung insiden tersebut.
Haddish bakal membintangi siri The Afterparty keluaran AppleTV sebelum ini dilaporkan telah berpisah dengan pelakon, Common, November lalu selepas setahun bercinta.